
KUALA LUMPUR, 27 November – Pembinaan Masjid Warisan di Jalan Davis di ibu negara bukan sekadar pembangunan infrastruktur, sebaliknya perlu berteraskan niat yang ikhlas dan cita cita memartabatkan umat.
- Pendirian masjid hendaklah berteraskan keimanan, ketakwaan dan keikhlasan, bukan mengejar kemegahan atau kehebatan fizikal.
- Masjid perlu mencerminkan keluhuran jiwa, menyemai nilai keagamaan dan memperkukuh martabat umat.
- Masjid Warisan diharap membawa keberkatan serta memperkukuh peranan institusi masjid dalam kehidupan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian masjid perlu didorong oleh keimanan dan ketakwaan, bukan semata-mata untuk menonjolkan kemegahan atau kehebatan fizikal.
Beliau berkata, masjid sewajarnya menjadi simbol ketakwaan serta mencerminkan keluhuran jiwa dan keikhlasan dalam beribadah kepada Allah SWT.
“Mendirikan masjid bukan sekadar membina infrastruktur, sebaliknya perlu berteraskan niat yang baik dan cita-cita untuk mengangkat martabat umat dengan keluhuran jiwa serta keikhlasan.
“Inilah asas utama dalam pembinaan sesebuah masjid. Kita telah diberikan peringatan yang jelas bahawa masjid hendaklah diasaskan atas dasar ketakwaan, bukannya untuk mengejar kemegahan atau mempamerkan kehebatan diri.
“Niat yang betul dan ikhlas amat penting dalam setiap usaha mendirikan rumah Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan Tahun 2026M/ 1448H MAIWP di ibu negara.
Menurutnya, niat yang tidak berlandaskan keikhlasan boleh menjejaskan tujuan sebenar pembinaan masjid, yang seharusnya menjadi tempat menyemai nilai keagamaan dan memperkukuh martabat umat.
Beliau berharap masjid berkenaan menjadi wadah yang membawa keberkatan, sekali gus memperkukuh peranan institusi masjid dalam kehidupan masyarakat.
Setakat ini peruntukan sebanyak RM4.1 juta bagi kerja-kerja awalan pembinaan Masjid Warisan telah diluluskan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 bagi tahun 2027.
Projek ini dirancang untuk dilaksanakan di bawah siling peruntukan RM70 juta RMK13.