
IPOH, 27 November – Rumah masyarakat Orang Asli yang uzur serta tidak selamat didiami sedia diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Perak menerusi tindakan yang diselaras mengikut tahap risiko dan keperluan semasa.
- Bagi kes kritikal, penempatan sementara disediakan melalui PPS atau kaedah lain yang bersesuaian sementara permohonan rumah baharu dikemukakan.
- JAKOA akan memeriksa rumah yang dilaporkan berisiko runtuh atau membahayakan keselamatan penghuni.
- JAKOA bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan JKM untuk menyelaras penempatan sementara selepas rumah disahkan tidak selamat.
- Rumah yang rosak teruk dan tidak ekonomik dibaiki boleh dipohon untuk pembinaan baharu di bawah Program Bantuan Rumah Orang Asli.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun memaklumkan bagi kes kritikal, penempatan sementara boleh diselaraskan menerusi pusat pemindahan sementara (PPS), sementara permohonan pembinaan rumah baharu dikemukakan untuk kelulusan.
Pemeriksaan awal akan dilakukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terhadap rumah yang dilaporkan berisiko runtuh atau membahayakan keselamatan penghuni.
“Sekiranya rumah berkenaan disahkan tidak selamat untuk didiami, pihak JAKOA bekerjasama dengan Pejabat Daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelaras penempatan sementara menerusi kemudahan pusat pemindahan sementara (PPS) atau kaedah penempatan lain yang bersesuaian, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan,”katanya pada Persidangan DUN Perak.
Menurut beliau, bagi rumah yang mengalami kerosakan struktur serius dan tidak ekonomik untuk dibaiki, JAKOA bakal mengemukakan permohonan pembinaan rumah baharu di bawah Program Bantuan Rumah Orang Asli kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam tempoh 2022 hingga 2026, sebanyak RM508,000 diperuntukkan menerusi program itu di DUN Chenderiang melibatkan 21 rumah, dengan 18 unit dibaik pulih dan tiga unit dibina baharu.