
KUALA LUMPUR, 26 November – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan berlaku pemotongan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion dalam Belanjawan 2027.
- KPM menafikan dakwaan kontrak pembekalan lencana Jalur Gemilang diberikan kepada pihak berkepentingan.
- Perolehan lencana dilaksanakan JPN dan PPD melalui ePerolehan, sama ada secara tender atau sebut harga.
- JPN dibenarkan membuat perolehan mengikut zon bagi mempercepat pembekalan dan menggalakkan penyertaan pembekal layak.
- Seramai 91 pembekal membekalkan lencana Jalur Gemilang di seluruh negara pada tahun lepas.
Sebaliknya menjelaskan jumlah itu hanya dipindahkan sementara kepada peruntukan mengurus sebelum dipersetujui untuk dikembalikan.
Timbalan Menteri Pendidikan,Wong Kah Woh berkata susulan permohonan KPM kepada Kementerian Kewangan (MOF), peruntukan pembangunan KPM akan meningkat kepada RM6.515 bilion berbanding RM5.515 bilion sebelum ini.
“Ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang yang bertanya berkenaan dengan pengurangan, penurunan peruntukan pembangunan yang dikatakan telah pun menurun dan sebenarnya KPM nak jelaskan di sini bahawa ia bukan satu penurunan tetapi ia telah pun dipindahkan di bawah peruntukan mengurus sebanyak RM1 bilion di bawah penyelenggaraan.
“KPM sememangnya telah memohon kepada MOF untuk dikembalikan semula peruntukan pembangunan itu dan sebenarnya telah pun dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat.
Pada sesi sama, beliau turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bahawa kontrak penghasilan dan pembekalan lencana Jalur Gemilang yang diedarkan KPM kepada murid serta pelajar seluruh negara pada 2025 diberikan kepada pihak berkepentingan.
Wong berkata semua proses perolehan dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah melalui sistem ePerolehan, sama ada secara tender ataupun sebut harga tertakluk kepada peruntukan yang diterima.
JPN telah pun diberikan kebenaran melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak.
“Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan Lencana Jalur Gemilang seluruh negara pada tahun lepas. Saya nak nasihatkan, saya nak put on record dekat sini bahawa nombor Hulu Terengganu tak ada. Tetapi saya nak put on record di sini bahawa saya berharap Hulu Terengganu boleh tarik balik tohmahan beliau yang menyatakan projek ini pada sahabat ataupun kroni,” katanya.