BYD Shark 6, model pertama CKD di Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 November – Trak pikap SHARK 6 dipilih sebagai sebagai model pertama BYD Malaysia dan Sime Motors yang akan dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti Inokom Corporation (Inokom), Kulim, Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran SHARK 6 dijangka pada suku pertama 2027.
  • Trak pikap 4WD berteknologi hibrid plug-in itu memperluas penawaran BYD dalam segmen kenderaan utiliti.
  • Kerjasama BYD dan Sime Motors menyokong pembangunan ekosistem kenderaan generasi baharu serta keupayaan pembuatan tempatan.

Pelancarannya dijangka pada suku pertama 2027.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, Malaysia mempunyai potensi besar saja sebagai pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang semakin berkembang, tetapi juga dari segi keupayaan industri automotif, tenaga kerja mahir dan peluang pengembangan perniagaan.

“Buat masa ini, tumpuan kami adalah untuk memastikan pelancaran SHARK 6 berjaya direalisasikan. Pada masa sama, model-model lain dalam perancangan produk kami juga sedang dipertimbangkan. Matlamat utama BYD adalah untuk membawa produk dan teknologi terbaik ke pasaran Malaysia.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Projek Pemasangan Tempatan BYD, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, persediaan bagi memulakan operasi pemasangan kini hampir selesai, termasuk pembangunan barisan pemasangan khusus untuk model berkenaan.

“Bagi merealisasikan sasaran itu, kilang perlu disiapkan dan proses pemasangan perlu dimulakan. Selain pemasangan, kami juga perlu menjalankan ujian bagi memastikan kualiti kenderaan memenuhi piawaian dan jangkaan BYD. Ketika ini, barisan pemasangan khusus untuk SHARK 6 sudah hampir siap,” jelasnya.

SHARK 6 merupakan trak pikap pacuan empat roda (4WD) berteknologi hibrid plug-in (PHEV), sekali gus memperluas penawaran BYD di Malaysia ke segmen kenderaan utiliti.

Pemilihan model itu juga mencerminkan perancangan jangka panjang BYD untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri automotif tempatan menerusi pemasangan dan pembangunan ekosistem sokongan.

Kerjasama BYD dan Sime Motors itu turut menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, khususnya dalam pembangunan ekosistem Kenderaan Generasi Baharu (NxGV), peningkatan keupayaan pembuatan tempatan serta penyertaan lebih meluas syarikat Malaysia dalam rantaian nilai industri automotif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.