
KUALA LUMPUR, 26 November – Cadangan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS) berpotensi menjejaskan momentum eksport, namun kesan sebenar terhadap prestasi perdagangan negara masih belum dapat dipastikan.
- MIER akan menjalankan pemodelan ekonomi untuk menilai kesan langkah tarif terhadap permintaan eksport Malaysia.
- Pertumbuhan ekonomi Malaysia lazimnya bergantung kepada permintaan luar negara, justeru pengurangan eksport boleh menjejaskan ekonomi.
- Kerajaan boleh mempertimbangkan rundingan semula dengan AS bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih baik.
- Malaysia dan AS masih berpeluang berbincang untuk mencapai persetujuan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, masih terlalu awal untuk mengukur impak tersebut, dan pihaknya akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan tarif itu memberi kesan kepada ekonomi negara.
MIER akan membuat pemodelan tentang bagaimana langkah-langkah yang dicadangkan itu boleh mempengaruhi permintaan terhadap eksport Malaysia.
“Pertumbuhan kita selalunya bergantung kepada permintaan luar negara. Jadi, kalau eksport kita berkurangan, maka terjejaslah.
”Soalnya, berapa besar kesannya, kita belum tahu. Untuk mengetahui sejauh mana kesannya, kami di MIER akan menjalankan kajian menerusi pemodelan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas persidangan bertemakan Kecerdasan Buatan (AI) dan Ketahanan Ekonomi dengan Pertumbuhan Inklusif anjuran MIER.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengadakan rundingan semula dengan AS bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih baik.
Menurutnya, Malaysia dan AS masih mempunyai ruang untuk berbincang bagi mencapai persetujuan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Terdahulu, AS mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia.
Cadangan itu susulan penilaian Washington yang mendakwa dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti pengeluaran dan memberi kesan kepada perdagangan AS.