
KUALA LUMPUR, 26 November – Seramai 60 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dalam sistem e-Kasih di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan baucar barangan keperluan persekolahan bernilai RM400 setiap keluarga bagi sesi persekolahan tahun 2027.
- Peruntukan RM24,000 disalurkan melalui Program Sejahtera MADANI: Pendidikan.
- Baucar memberi ibu bapa dan murid kebebasan memilih kelengkapan sekolah mengikut keperluan.
- Kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan ICU JPM Wilayah Persekutuan memperluas capaian bantuan kebajikan.
Inisiatif melibatkan peruntukan sebanyak RM24,000 di bawah Program Sejahtera Madani: Pendidikan telah disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail yang menyifatkan pendekatan pemberian baucar dipilih bagi memberi kebebasan kepada ibu bapa dan murid memilih sendiri kelengkapan sekolah yang benar-benar diperlukan berbanding pemberian set barangan.
“Kita beri dalam bentuk baucar agar mereka dapat memilih sendiri yang bersesuaian dengan keperluan anak-anak.
“Nilai RM400 ini juga agak besar dan dapat dimanfaatkan secara berhemah,”katanya selepas majlis penyampaian sumbangan.
Beliau berkata kerjasama strategik antara Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Wilayah Persekutuan memainkan peranan penting dalam memperluas capaian bantuan kebajikan kepada golongan sasar.
“Ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan dan terima kasih kepada ICU yang memberikan banyak bantuan serta sokongan.
“Jika pejabat parlimen bergerak bersendirian tanpa sokongan ICU, keupayaan kita agak terhad, jadi kerjasama ini memberi ruang lebih luas untuk kita membantu,” katanya lagi.
Program Sejahtera MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.