Khazanah pacu pembangunan syarikat makanan tempatan berpotensi – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program khas Dialog Negara di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) memainkan peranan penting dalam membangunkan syarikat tempatan berpotensi menerusi sokongan pembiayaan pada peringkat awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan Farm Fresh membantu memperkukuh pengeluaran makanan negara ketika kos sektor pertanian meningkat.
  • Sektor pertanian, penternakan dan perikanan berdepan cabaran akses pembiayaan, produktiviti serta infrastruktur pemasaran.
  • Tatakelola baik penting untuk mengelakkan ketirisan, manakala perkembangan Farm Fresh ke luar negara membuktikan potensi eksport syarikat tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan syarikat berpotensi berkembang sebelum Khazanah melepaskan pegangannya bagi memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat lain.

“Ini satu contoh yang baik apabila Khazanah mengambil keputusan untuk menyokong peringkat awal syarikat-syarikat yang mempunyai potensi, diurus dengan baik dan berjaya,” katanya ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan syarikat tempatan seperti pengeluar produk tenusu, Farm Fresh penting dalam memperkukuh pengeluaran makanan negara, terutama ketika sektor berkenaan berdepan peningkatan kos akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.

Katanya, kenaikan kos pengangkutan sehingga 10 kali ganda turut memberi tekanan kepada harga bahan import yang diperlukan sektor pertanian.

Dalam pada itu, beliau turut mengenal pasti tiga cabaran utama sektor pertanian, penternakan dan perikanan, iaitu akses pembiayaan, produktiviti serta kelemahan infrastruktur pemasaran.

Beliau berkata, agensi berkaitan perlu bertindak lebih agresif bagi memastikan kemudahan pembiayaan sampai kepada pengusaha selain membantu meningkatkan produktiviti dan pemasaran hasil mereka.

Beliau turut menegaskan kepentingan tatakelola yang baik bagi memastikan dana kerajaan tidak mengalami ketirisan sehingga menjejaskan keberkesanan bantuan kepada pengusaha.

Tambah beliau, kejayaan Farm Fresh mengembangkan perniagaan ke beberapa negara turut membuktikan potensi syarikat tempatan menjana pendapatan melalui eksport dan pelaburan luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.