Empat cedera diserang lelaki bersenjatakan parang mengamuk di Lipis

Foto hiasan

LIPIS, 25 November – Empat individu cedera selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk di Kampung Berchang, di sini pada Isnin lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menerima maklumat kira-kira 6.36 petang dan menggerakkan pegawai serta anggota ke lokasi kejadian.
  • Suspek berusia 43 tahun ditahan kira-kira 7.10 malam sebelum dibawa ke IPD Lipis.
  • Suspek dirujuk ke wad psikiatri Hospital Bentong dan masih ditahan untuk pemeriksaan mental.
  • Semua mangsa dilaporkan stabil, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.36 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, Unit Kereta Peronda (MPV) serta Balai Polis Padang Tengku digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek berusia 43 tahun itu kira-kira pukul 7.10 malam pada hari sama sebelum dibawa ke IPD Lipis untuk tindakan lanjut.

“Suspek kemudian dirujuk ke wad psikiatri Hospital Bentong selepas menjalani pemeriksaan kesihatan awal oleh pegawai perubatan di Hospital Kuala Lipis.

“Suspek kini masih ditahan di Hospital Bentong bagi menjalani pemeriksaan mental, manakala kesemua empat mangsa telah tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan kesemua mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.