
KUALA LUMPUR, 25 November – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kejadian curi kenderaan di sebuah kawasan perumahan di Pantai Dalam di sini seperti yang tular di media sosial.
- Suspek berusia 51 tahun ditahan anggota BSJ IPD Brickfields pada pukul 9 pagi, semalam.
- Polis merampas semula kereta milik pengadu serta sebuah van yang turut dilaporkan hilang.
- Semakan mendapati suspek mempunyai 39 rekod jenayah lampau; kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata penahanan suspek berusia 51 tahun itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 9 pagi, semalam.
Menurutnya, tangkapan tersebut susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 40 tahun pada 23 November lalu selepas menyedari kereta miliknya hilang di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka, Pantai Dalam.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya memberkas suspek serta merampas semula kereta berkenaan milik pengadu bersama sebuah van yang turut dilaporkan hilang membabitkan suspek sama.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek memiliki 39 rekod jenayah lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah serta narkotik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular tersebut dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 / 0585, Hotline Polis Brickfields (03-2297 9222) atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin dijadual mengadakan satu sidang media esok.