
KUALA LUMPUR, 25 November – Malaysia akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun berdepan cabaran berkaitan tarif.
- Malaysia mengutamakan kepentingan ekonomi negara menerusi hubungan strategik dengan rakan antarabangsa.
- Kerjasama pemain industri kedua-dua negara perlu diperkukuh demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.
- Sektor penerbangan membantu memperluas akses Malaysia ke pasaran global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai negara perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan kepentingan ekonomi negara menerusi hubungan strategik dengan rakan antarabangsa.
Justeru, kerjasama antara pemain industri kedua-dua negara perlu terus diperkukuh bagi menyokong agenda berkenaan.
“Meskipun berdepan pelbagai retorik politik dan cabaran berkaitan tarif, Amerika Syarikat kekal sebagai rakan perdagangan dan pelaburan nombor satu Malaysia.
“Saya percaya hubungan ini akan berterusan dan menerusi jaringan pemain industri, kita perlu memastikan hubungan ini terus diperkukuh demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berucap pada majlis menandatangani perjanjian pemerolehan pesawat Boeing 787 Dreamliner oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
Menurutnya, Malaysia telah meraih manfaat besar daripada perdagangan terbuka, pelaburan dan kerjasama antarabangsa, dengan sektor penerbangan memainkan peranan penting dalam memperluas akses negara ke pasaran global.