
KUALA LUMPUR, 25 November – Kerugian akibat penipuan dalam talian di seluruh negara mencecah RM7.33 bilion, membabitkan 192,869 kes yang direkodkan sejak 2023 hingga Oktober tahun ini.
- Seramai 75,266 individu ditahan dan 69,665 pertuduhan dikemukakan sepanjang tempoh hampir empat tahun.
- Jenayah telekomunikasi mencatatkan kerugian RM2.132 bilion, manakala pelaburan tidak wujud menyebabkan kerugian RM3.4 bilion.
- Sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan, digunakan sindiket untuk memindahkan wang mangsa melalui beberapa lapisan transaksi.
- Pemindahan wang boleh berlaku dalam kira-kira lima minit, maka mangsa perlu segera melaporkan kejadian kepada NSRC melalui talian 997.
Daripada jumlah itu, sebanyak 56,802 kes dengan kerugian RM1.56 bilion dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 sahaja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh hampir empat tahun berkenaan, seramai 75,266 individu ditahan dan sebanyak 69,665 pertuduhan dikemukakan.
“Jenayah telekomunikasi merekodkan 73,043 kes melibatkan kerugian RM2.132 bilion.
“Yang kedua paling tinggi ialah jenayah e-dagang, 50,749 kes. Itu paling tinggi dari segi kes, tetapi dari segi nilai kerugian, e-dagang cuma RM509 juta.
“Yang ketiga paling tinggi ialah pelaburan tidak wujud, 27,863 kes. Yang ini nilai kerugian dari segi ringgit adalah RM3.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah kes yang tinggi tidak semestinya mencerminkan nilai kerugian terbesar bagi setiap kategori penipuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan bagi tempoh 2023 hingga Oktober tahun ini.
Menurutnya, akaun berkenaan menjadi antara instrumen utama sindiket untuk memindahkan wang mangsa melalui beberapa lapisan transaksi bagi mengelakkan pengesanan.
Proses pemindahan itu boleh berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit, sekali gus menjadikan tindakan segera mangsa melaporkan kejadian kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 amat penting.
Beliau berkata, sebanyak 30,000 panggilan diterima pada Oktober lalu, berbanding antara 300 hingga 400 panggilan sehari sebelum pelaksanaan NSRC dan talian 997.