Kakitangan RTM antara 11 penerima sijil perunding profesional bahasa

Barisan Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam yang menerima Sijil Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan./RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Sebanyak 11 Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam (MMB) hari ini menerima pensijilan selaku Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan, dalam satu majlis berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan yang dipersijilkan kini meningkat kepada 25 orang.
  • Program ini membangunkan kepakaran dalam penyediaan, penyemakan dan pemurnian dokumen rasmi kerajaan.
  • Seramai 39 Munsyi Muda Bahasa menyertai program bermula Jun 2025, dengan peserta perlu memenuhi beberapa syarat dan wahana.
  • Perunding baharu diharap membimbing agensi kerajaan menggunakan bahasa Melayu dan format dokumen rasmi yang betul.

Pensijilan 11 MMB daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan ini, menjadikan jumlah keseluruhan Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan yang telah dipersijilkan sehingga kini kepada 25 orang.

Turut menerima sijil itu ialah Penyunting Bernama Hisham Abdul Hamid dan Penolong Pengarah Seksyen Dasar Jabatan Penyiaran Malaysia, Norfadhilah Ahmad Mawawi.

MMB lain yang menerima sijil tersebut ialah Ahmad Farhan Zailudin daripada INTAN, Ashman Ahmad (Kolej Komuniti Chenderoh), Dr Norhana Bakhary (Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek), Dr Uma Thevi Vetriveilmany (Institut Aminudin Baki Cawangan Utara) dan Mohd Yusri Mohd Yusof (Hospital Raja Perempuan Zainab II).

Sijil pelantikan turut diserahkan kepada Jualiana Rashid (Jabatan Perdana Menteri), Kuntum Md Arif (Universiti Teknologi Malaysia), Rizal Ramli (Jabatan Agama Islam Selangor) dan Muqni Mubarak Anwar Mubarak) Majlis Perbandaran Kajang.

Penyampaian sijil itu disempurnakan Pengarah INTAN Bukit Kiara Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff Mohd Zabri pada Majlis Perhimpunan Bulanan INTAN, di sini hari ini.

Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan merupakan cabang pengkhususan Program Munsyi Muda Bahasa yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dalam penyediaan, penyemakan dan pemurnian dokumen rasmi kerajaan.

Program itu sekali gus melahirkan perunding bahasa yang berupaya menjadi rujukan profesional kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam meningkatkan mutu penulisan dokumen rasmi.

Penyelaras Program Pembangunan Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan 3.0 Mohamad Ikhwan Al- Syahid Abdullah Tahir berkata pada awal program yang bermula pada Jun 2025 itu, 39 Munsyi Muda Bahasa daripada pelbagai Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan telah menyertai bengkel itu.

Beliau yang juga Perunding Latihan INTAN berkata kesemua mereka perlu menghadiri bengkel, melaksanakan kerja kursus, menyertai sesi-sesi pumpunan sebagai fasilitator, mengendalikan kursus-kursus dokumen rasmi kerajaan anjuran jabatan dan INTAN, serta beberapa wahana lain yang diwajibkan sepanjang program lebih setahun itu, sehingga Ogos tahun ini.

“Kesemua 11 MMB yang dipersijilkan hari ini telah menyempurnakan semua syarat-syarat dan lima wahana yang diwajibkan.

“Semoga 11 Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan baharu ini, dapat membantu dalam memberikan pengajaran dan tunjuk ajar penggunaan bahasa Melayu dan format yang betul dalam dokumen rasmi kerajaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu MMB Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Puan Kuntum Md Ariff berkata pembudayaan semakan rapi dan keseragaman format dokumen rasmi perlu dipergiat, bagi memastikan bahasa kebangsaan terus diperkasakan secara praktikal dalam urusan harian setiap agensi.

Beliau berkata ketetapan format dan ketelitian laras bahasa dalam urusan surat-menyurat rasmi bukan sekadar pematuhan teknikal semata-mata, sebaliknya menjadi cerminan terus kepada imej, disiplin, dan kewibawaan sesebuah organisasi atau jabatan.

“Pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan kerajaan, penting untuk diselaraskan merentas semua bahagian, agar wujud keseragaman dan tidak menimbulkan kecelaruan standard pentadbiran.

“Dokumen rasmi yang dihasilkan dengan tertib dan menggunakan bahasa Melayu yang betul membuktikan bahawa seluruh warga kerja benar-benar cakna terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme penjawat awam yang sentiasa memelihara kualiti perkhidmatan,” katanya.

Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan Jabatan Penyiaran Malaysia Norfadhilah Ahmad Mawawi berkata penggunaan format yang betul dalam penulisan surat rasmi merupakan suatu yang amat penting kerana surat rasmi mencerminkan imej, profesionalisme dan kredibiliti sesebuah jabatan atau agensi.

“Oleh itu, penggunaan format yang tepat bahasa yang sesuai serta penyampaian maklumat yang jelas bukan sahaja memudahkan penerima memahami kandungan surat, malah turut menunjukkan tahap kecekapan dan ketelitian sesebuah agensi atau jabatan tersebut dalam urusan pentadbiran,” katanya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.