
IPOH, 25 November – Kerajaan Negeri Perak akan mempergiat usaha membanteras penipuan dalam talian menerusi program kesedaran komuniti serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa dan institusi perbankan.
- Program kesedaran akan dijalankan secara berterusan dan bersasar, khususnya untuk warga emas serta kumpulan kurang terdedah kepada teknologi digital.
- Ceramah komuniti akan mendidik orang ramai tentang keselamatan perbankan dalam talian dan cara mengesan pautan palsu.
- Kerjasama dengan agensi dan bank diperkukuh untuk menyekat transaksi serta membekukan akaun disyaki; mangsa diminta menghubungi NSRC di talian 997.
Langkah itu susulan 124 kes penipuan dalam talian dengan kerugian hampir RM11.93 juta direkodkan di Menglembu bagi tempoh 2024 hingga Oktober tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, program kesedaran akan memberi tumpuan kepada warga emas serta kumpulan yang kurang terdedah kepada penggunaan teknologi digital.
“Kerajaan negeri berpandangan bahawa program kesedaran tidak boleh dilaksanakan secara bermusim semata-mata, sebaliknya perlu dijalankan secara berterusan dan bersasar, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mencatatkan jumlah kes atau peningkatan risiko penipuan dalam talian.
“Pendekatan berasaskan kawasan dan kumpulan sasaran ini penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan impak yang lebih berkesan,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Ipoh.
Antara usaha yang dirancang termasuk ceramah dan kempen kesedaran di peringkat komuniti, selain pendidikan mengenai keselamatan perbankan dalam talian serta pengesanan pautan palsu.
Kerjasama dengan pihak berkaitan turut diperkukuh bagi mempercepat tindakan sekatan transaksi dan pembekuan akaun yang disyaki terlibat dalam penipuan.
Mangsa juga disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebaik menyedari menjadi mangsa penipuan.