
KUALA TERENGGANU, 25 November – Tiga lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul dan menyiku seorang warga emas berusia 62 tahun di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, di sini, Isnin lalu.
- Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun ditahan petang semalam.
- Kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah MPV melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu isteri mangsa.
- Mangsa cedera pada muka, hidung dan mulut; kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Amir Zainul Muttaqin Mohd Zamri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun ditahan petang semalam.
Jelas beliau, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu dipercayai berpunca apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu isteri mangsa.
Mangsa yang keluar untuk memeriksa kerosakan kenderaan kemudian dipercayai diserang individu yang menaiki MPV berkenaan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka, hidung dan mulut.
Rakaman video kejadian turut tular di media sosial dan mengundang kemarahan orang ramai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.