Integrasi rekod kesihatan pemandu ke MySIKAP siap 2027

Datuk Hasbi Habibollah / Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR, 25 November – Pengintegrasian rekod pemeriksaan kesihatan pemandu di bawah Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) ke dalam sistem MySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka selesai secara berfasa menjelang akhir 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ dan PERKESO bekerjasama mendigitalkan Borang Pemeriksaan Kesihatan JPJL8A.
  • Integrasi bertujuan mengurangkan kemasukan data manual, memudahkan semakan keputusan dan meningkatkan kecekapan urusan pelesenan vokasional.
  • Lebih 1,400 klinik panel di seluruh negara berdaftar untuk menyokong Program Pemandu Sihat dan Selamat.
  • Kerajaan menanggung RM55 kos pemeriksaan kesihatan, manakala pemandu yang layak membayar RM30; saringan turut menilai penglihatan, pendengaran dan gangguan tidur.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, usaha itu dilaksanakan JPJ dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyokong pendigitalan Borang Pemeriksaan Kesihatan JPJL8A.

“Integrasi ini bertujuan mengurangkan kemasukan data secara manual, memudahkan semakan keputusan pemeriksaan kesihatan serta meningkatkan kecekapan urusan pelesenan vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Hasbi berkata, setakat ini, lebih 1,400 klinik panel telah berdaftar di seluruh negara bagi menyokong pelaksanaan PSS.

Di bawah Belanjawan 2026 dan 2027, kerajaan menanggung RM55 daripada kos pemeriksaan kesihatan, manakala pemandu yang layak hanya perlu membayar RM30.

Saringan itu merangkumi pemeriksaan fizikal, penglihatan dan pendengaran, selain penilaian masalah kesihatan termasuk gangguan tidur yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pengangkutan turut membangunkan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan melalui PUSPAKOM yang berada pada peringkat pembuktian konsep sejak 8 September lalu.

Sistem berkenaan bertujuan memantau corak dan keadaan pemanduan secara berterusan, mengambil kira kemungkinan tahap kesihatan pemandu berubah dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.