
KUALA LUMPUR, 25 November – Aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) kekal tidak dibenarkan di hutan simpanan kekal, kawasan sensitif alam sekitar serta kawasan perlindungan yang ditetapkan.
- Perlombongan REE tertakluk kepada prosedur operasi standard dan undang-undang, dengan pemantauan penggunaan bahan kimia, kualiti air serta pengurusan sisa.
- FRIM sedang mengkaji kesan perlombongan REE terhadap ekosistem hutan bagi memperkukuh penilaian risiko alam sekitar dan dasar pengawalseliaan.
- Projek REE di Mukim Kenering menggunakan kaedah larut resap setempat tanpa pengorekan tanah secara besar-besaran.
- Kerajaan memperuntukkan RM38.49 juta bagi penilaian sumber REE dari 2026 hingga 2030 di kawasan seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, larangan itu bagi memastikan pembangunan industri REE tidak menjejaskan ekosistem hutan, biodiversiti dan keseimbangan alam sekitar.
Menurutnya, aktiviti perlombongan mineral berkenaan tertakluk kepada prosedur operasi standard serta perundangan berkaitan, dengan pemantauan meliputi penggunaan bahan kimia, kualiti air dan pengurusan sisa perlombongan.
“Kementerian melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga sedang melaksanakan kajian kesan perlombongan REE terhadap ekosistem hutan bagi mengukuhkan lagi asas saintifik dalam penilaian risiko alam sekitar serta penambahbaikan dasar dan mekanisme pengawalseliaan.
“Pembangunan industri REE di peringkat negeri perlu bergerak seiring pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai kaedah perlombongan, Datuk Seri Arthur menjelaskan, projek REE di Mukim Kenering, Perak menggunakan kaedah larut resap setempat yang membolehkan mineral diekstrak tanpa pengorekan tanah secara besar-besaran.
Sementara itu, kajian awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menganggarkan negara mempunyai 16.1 juta tan metrik sumber REE, dengan sumber terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah.
Bagaimanapun, angka berkenaan merupakan anggaran sumber teragak dan bukannya rizab mineral yang telah disahkan berdaya maju untuk perlombongan komersial.
Bagi memperincikan potensi sumber tersebut, kerajaan memperuntukkan RM38.49 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi pelaksanaan projek penilaian REE dari 2026 hingga 2030, melibatkan kawasan seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.
Sehingga Oktober lalu, sasaran penilaian kawasan seluas 30 kilometer persegi di enam negeri bagi tahun ini telah dicapai sepenuhnya.