
PADANG TERAP, 25 November – Golongan mahasiswa, khususnya yang berasal dari kawasan luar bandar, perlu peka terhadap perkembangan teknologi terkini serta berperanan menyebarluaskan ilmu dan kemahiran digital kepada komuniti setempat.
- Mahasiswa perlu berkongsi kepakaran dan ilmu dengan masyarakat luar bandar, bukan hanya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik.
- Pendedahan teknologi secara berhemah dan peningkatan literasi media sosial dapat membantu merapatkan jurang digital serta menangani penyebaran maklumat palsu.
- Mahasiswa wajar menjadi contoh kepada generasi muda dengan menggunakan teknologi secara positif, produktif dan bertanggungjawab.
Usaha itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus transformasi digital, selain membimbing golongan muda agar tidak terjebak dalam gejala negatif yang boleh menjejaskan kehidupan sosial dan masa depan mereka.
Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Kamarul Azman Khamis berkata, mahasiswa mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan, pendedahan dan akses kepada teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk membantu menangani pelbagai permasalahan masyarakat.
“Mahasiswa tidak seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu keluar daripada lingkungan kampus untuk menyumbang kepakaran dan berkongsi ilmu dengan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.
Prof. Madya Dr. Kamarul Azman berkata demikian selepas menghadiri Program Santai Mesra Mahasiswa dan Belia bersama masyarakat desa di Kampung Lubuk Merbau Jaya, Pedu, di sini.
Program itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuk memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi digital secara berhemah, meningkatkan literasi media sosial serta membimbing masyarakat memanfaatkan teknologi untuk pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial.
Usaha itu juga mampu membantu menangani isu setempat, termasuk jurang digital, kekurangan pendedahan teknologi dan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Dalam masa sama, mahasiswa perlu menjadi contoh kepada generasi muda dengan memanfaatkan teknologi secara positif, produktif dan bertanggungjawab, bukannya terpengaruh dengan kandungan negatif yang boleh merosakkan pemikiran serta nilai kehidupan.
Justeru, mahasiswa perlu berperanan bukan sekadar sebagai golongan berpendidikan tinggi, tetapi juga pemangkin perubahan yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat luar bandar.