Misi Shenzhou-24 berjaya

Tiga anak kapal Shenzhou-24 berada dalam keadaan baik/Foto AFP

BEIJING, 25 November – China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-24 ke stesen angkasa Tiangong, pada Rabu dengan mengesahkan tiga anak kapalnya berada dalam keadaan baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shenzhou-24 dijadual berlabuh di Tiangong dan menyertai tiga angkasawan yang berada di stesen berkenaan.
  • Misi disertai Tang Hongbo, Wu Yi dan angkasawan Pakistan, Mohammed Zeeshan Ali.
  • Ali bakal menjalankan eksperimen penanaman mikroalga sebagai sumber makanan dan oksigen berpotensi untuk misi angkasa lepas masa hadapan.

Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA) memaklumkan kapal angkasa itu berjaya berpisah daripada roket pengangkut kira-kira 10 minit kemudian sebelum memasuki orbit yang ditetapkan.

“Selepas memasuki orbit, kapal angkasa itu dijadual berlabuh di stesen angkasa Tiangong dengan kesemua anak kapal Shenzhou-24 akan menyertai tiga angkasawan yang berada di stesen berkenaan.

“Majlis pelancaran berlangsung dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi pada pukul 8.18 pagi waktu tempatan.

“Misi terbaharu itu telah disertai Tang Hongbo selaku komander dan juruterbang kapal angkasa, Wu Yi sebagai jurutera penerbangan serta angkasawan Pakistan, Mohammed Zeeshan Ali sebagai pakar muatan,”kata CMSA.

Rakaman video pelancaran itu telah disiarkan oleh penyiar rasmi China, CCTV.

Media kerajaan China melaporkan Beijing telah membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk program angkasa lepas negara itu dalam usaha menghantar angkasawan ke Bulan sebelum 2030.

China kini bersaing dengan Amerika Syarikat yang turut melaksanakan program Artemis bertujuan mencapai matlamat sama.

Sementara itu, Suruhanjaya Penyelidikan Angkasa dan Atmosfera Atas Pakistan (SUPARCO) berkata Ali bakal menjalankan beberapa eksperimen di orbit termasuk penanaman mikroalga sebagai sumber makanan dan oksigen yang berpotensi untuk misi angkasa lepas pada masa hadapan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.