Israel bunuh kakitangan UNRWA di utara Gaza

Jenazah Adel al-Helou, kakitangan UNRWA/ AFP

GAZA, 24 November- Seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Adel al-Helou terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah fasiliti badan itu di Jabalia, utara Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adel al-Helou berkhidmat hampir 35 tahun dengan UNRWA dan menggali telaga bagi membekalkan air bersih kepada penduduk kem pelarian Jabalia.
  • Abangnya menggesa masyarakat antarabangsa melindungi rakyat Palestin dan menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza.
  • Serangan ke atas sebuah kereta di barat Gaza City mengorbankan dua orang dan mencederakan dua lagi.

Abangnya, Nizar al-Helou berkata mangsa telah berkhidmat dengan UNRWA selama hampir 35 tahun dan terlibat dalam kerja menggali telaga bagi membekalkan air minuman bersih kepada penduduk kem pelarian Jabalia.

“Beliau terbunuh ketika menjalankan tugasnya. Ini membuktikan bahawa tiada gencatan senjata atau perjanjian damai yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin dan menamatkan peperangan di Gaza.

Dalam perkembangan berasingan, pegawai pertahanan awam Gaza, Karem Al-Dalou berkata serangan ke atas sebuah kereta di barat Gaza City mengorbankan dua orang dan mencederakan dua lagi yang mengalami kecederaan parah.

Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak Oktober 2025, selepas dua tahun peperangan yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,650 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.