
GEORGE TOWN, 24 November – Seramai 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Kompleks Sukan Balik Pulau bagi memeriahkan Program Yakin MADANI yang akan berlangsung selama dua hari bermula 28 November ini.
- Program mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan membuka ruang interaksi langsung dengan pemimpin Persekutuan serta negeri.
- Pelbagai agensi berhimpun di satu lokasi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan, menyemak kelayakan bantuan dan memperoleh khidmat nasihat.
- Pengunjung berpeluang mengetahui sendiri pelbagai inisiatif kerajaan serta beramah mesra dengan pemimpin.
- Pengisian termasuk pertandingan e-sukan, pameran aset, fun walk dan pertukaran topi keledar percuma, dengan tumpuan kepada golongan muda.
Program itu bukan sahaja menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah membuka ruang interaksi secara langsung antara masyarakat dengan pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Jafri Abdul Jalil berkata, penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkaitan di satu lokasi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan, menyemak kelayakan bantuan serta memperoleh khidmat nasihat secara terus.
Menurutnya, kehadiran pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri turut memberi peluang kepada rakyat untuk beramah mesra serta mengetahui sendiri pelbagai inisiatif yang disediakan.
“Rakyat dapat bersemuka dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga negeri. Saya harap rakyat dapat mengambil manfaat secara langsung daripada perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita RTM.
Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk pertandingan e-sukan, pameran aset, aktiviti fun walk serta program pertukaran topi keledar secara percuma.
Penganjuran program itu turut memberi tumpuan kepada golongan muda menerusi pelbagai aktiviti bersesuaian.