
KUALA LUMPUR, 24 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan wujud layanan dua darjat dalam tindakan siasatan membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
- Anwar mengarahkan pihak berkuasa menyiasat Ahli Parlimen yang didakwa menggugat sensitiviti keagamaan di Terengganu.
- Tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan jika membangkitkan isu agama, kaum dan institusi diraja.
- Tidak semua siasatan 3R berakhir dengan pendakwaan kerana individu terbabit perlu diberi ruang menjelaskan kenyataan atau tindakan mereka.
Datuk Seri Anwar menegaskan tiada mana-mana individu, termasuk pemimpin politik terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat laporan polis.
“Saya tidak bersetuju dengan perkara itu. Namun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Berhubung kenyataan yang dibuat selepas permohonan maaf dikemukakan, perkara itu terpulang kepada keputusan PDRM. Tidak tepat untuk mengatakan tindakan diambil secara perlahan kerana siasatan telah dilaksanakan dengan segera,” jelasnya.
Perdana Menteri turut mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan dikatakan menggugat sensitiviti keagamaan ketika berkunjung ke Terengganu baru-baru ini.
Tanpa menamakan Ahli Parlimen terbabit, katanya tiada pihak yang terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan jika membangkitkan isu (3R).
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar mengakui terdapat kes tertentu yang mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan, termasuk siasatan berkaitan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Katanya, perkara itu boleh dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak pendakwaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan siasatan.
Bagaimanapun, jelasnya tidak semua siasatan berkaitan isu 3R berakhir dengan pendakwaan kerana individu terbabit perlu diberikan ruang untuk menjelaskan maksud kenyataan atau tindakan mereka.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid mengenai tindakan terhadap seorang Ahli Parlimen didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan di Dewan Rakyat.