Sekatan AS perlahankan pemberian kontrak projek pusat data di Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 November – Cadangan Amerika Syarikat (AS) menyekat syarikat teknologinya daripada membina pusat data di luar negara berisiko memperlahankan pemberian kontrak baharu projek pusat data di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan sekatan AS boleh memperlahankan pemberian kontrak baharu projek pusat data di Malaysia.
  • Pemaju mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga pelaksanaan sekatan diperjelas.
  • Sekatan boleh mengehadkan pengembangan operasi AI dan pengkomputeran awan syarikat teknologi AS, sekali gus menjejaskan permintaan kapasiti pusat data antarabangsa.
  • Pemaju tempatan seperti EXSIM, AIMS Group, Open DC dan YTL Data Centers berpotensi menyediakan kapasiti sewaan kepada syarikat teknologi AS.

RHB Research berkata, langkah yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump itu boleh mendorong pemaju pusat data mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga terdapat penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan sekatan berkenaan.

“Perkembangan sama pernah berlaku pada Januari 2025 susulan cadangan peraturan penyebaran teknologi AI oleh AS, apabila pemberian kontrak pusat data di Malaysia mengalami kelembapan antara empat hingga enam bulan.

“Sekiranya sekatan itu dilaksanakan, syarikat teknologi AS mungkin berdepan kesukaran mengembangkan operasi perniagaan AI dan pengkomputeran awan di luar negara, sekali gus menjejaskan keperluan terhadap kapasiti pusat data antarabangsa,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, Alphabet, syarikat induk Google, dan Microsoft masing-masing merekodkan sumbangan hasil luar negara sebanyak 52 peratus dan 49 peratus dalam tahun kewangan terkini, manakala penyedia pusat data kolokasi AS, Equinix, menjana 61 peratus hasil daripada pasaran luar negara pada tahun kewangan 2025.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan sekatan berkenaan berpotensi membuka peluang kepada pemaju pusat data tempatan untuk mengambil alih peranan menyediakan kapasiti sewaan kepada syarikat teknologi AS yang tidak lagi dapat membina kemudahan sendiri di luar negara.

Antara pemaju yang berpotensi mendapat manfaat termasuk EXSIM, AIMS Group, Open DC dan YTL Data Centers, selain pengendali antarabangsa seperti NEXTDC dan AirTrunk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.