26,885 calon duduki SPM di Pahang, Perlis, Labuan

Calon SPM SMK Derma, Kangar, Perlis/ RTM

KUANTAN, 23 November- Seramai 26,885 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang, Perlis dan Labuan yang bermula hari ini hingga 17 Disember depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN di Pahang, Perlis dan Labuan menyediakan pusat peperiksaan alternatif serta pusat gerakan bencana bagi menghadapi kemungkinan banjir.
  • Di Pahang, 2,134 calon dikenal pasti berisiko terjejas banjir, manakala 65 kelompok pusat peperiksaan diwujudkan untuk penyelarasan dan pemindahan.
  • Perlis mengenal pasti tiga pusat peperiksaan alternatif, sementara Labuan menubuhkan Pusat Gerakan Bencana untuk memantau situasi Monsun Timur Laut.

Pahang merekodkan 21,640 calon di 268 pusat peperiksaan, diikuti Perlis dengan 3,838 calon di 37 pusat, manakala Labuan mencatatkan 1,407 calon di 14 pusat peperiksaan.

Dalam menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di ketiga-tiga lokasi berkenaan mengambil langkah kesiapsiagaan termasuk menyediakan pusat peperiksaan alternatif dan mengaktifkan pusat gerakan bencana.

Di Pahang, seramai 2,134 calon dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir menerusi Dashboard Ops Payung, termasuk 329 penghuni asrama.

Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata sebanyak 65 kelompok pusat peperiksaan diwujudkan bagi memudahkan penyelarasan dan pemindahan calon sekiranya pusat asal tidak dapat beroperasi akibat banjir.

“Apabila jalan terputus, kita perlu menggerakkan pelajar. Tahun lepas di Kuantan, kita memindahkan pelajar dari Seri Damai dan menempatkan mereka di asrama Sekolah Menengah Sains.

“Dalam Ops Payung ini, semua agensi terlibat, bukan hanya pihak pendidikan. Antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pengurusan Felda,” katanya selepas meninjau hari pertama peperiksaan di SMK Maran, hari ini.

Sementara itu, di Perlis, tiga pusat peperiksaan alternatif dikenal pasti bagi menghadapi kemungkinan banjir, iaitu Kolej Vokasional Arau, Kolej Vokasional Kangar dan Kolej Komuniti Arau.

Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Ishak Awang berkata 24 daripada 3,838 calon di negeri itu merupakan calon berkeperluan pendidikan khas, manakala empat calon menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

“Cuaca hari ini baik dan pelajar-pelajar dapat masuk ke dewan dengan tenang. Kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua sekolah yang telah menguruskan peperiksaan ini dengan baik,” katanya selepas meninjau peperiksaan di SMK Derma, Kangar.

Di Labuan, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata, Pusat Gerakan Bencana ditubuhkan di Kampung Bukit Kalam bagi memantau situasi Monsun Timur Laut sepanjang tempoh peperiksaan.

“Kita bersedia mendepani situasi Monsun Timur Laut. Kita telah menubuhkan Pusat Gerakan Bencana di peringkat Jabatan Pendidikan Labuan di Kampung Bukit Kalam bagi memantau situasi bencana, dengan tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi kerjasama semua agensi di Labuan,” katanya selepas bertemu calon SPM di SMK Labuan, pagi tadi.

Yahya turut meminta calon yang terjejas akibat sebarang bencana supaya segera memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Seramai 104 petugas peperiksaan dilantik di Labuan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.