Ujian mendengar, bertulis digabungkan bagi kurangkan ketidakhadiran calon SPM

Foto RTM

PUTRAJAYA, 23 November – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada lagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berstatus gagal akibat terlepas komponen ujian tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian Mendengar dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris dijadualkan berturutan pada hari yang sama.
  • Langkah itu bertujuan mengelakkan calon mengabaikan mana-mana komponen peperiksaan.
  • Calon yang tidak melengkapkan sekurang-kurangnya satu kertas berisiko gagal keseluruhan subjek.
  • Sebelum ini, calon yang tidak hadir ujian mendengar tetapi hadir ujian bertulis tetap dianggap tidak hadir dan berstatus gagal.

Bermula tahun ini, KPM menetapkan jadual Ujian Mendengar dan Ujian Bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dilaksanakan berturutan pada hari yang sama.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu diperkenalkan bagi mengelakkan calon mengambil mudah mana-mana komponen, sekali gus menyelamatkan mereka daripada risiko gagal keseluruhan subjek akibat tidak melengkapkan sekurang-kurangnya satu kertas peperiksaan.

“Peperiksaan mendengar ini disekalikan dengan peperiksaan bertulis untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selepas jam 9 pagi calon masuk ujian mendengar, dan pada pukul 10.45 pagi mereka masuk semula untuk ujian bertulis.

“Sebelum ini, kerap berlaku calon tidak hadir ujian mendengar tetapi hadir ujian bertulis. Apabila keadaan ini berlaku, kita terpaksa anggap mereka tidak hadir juga dan berstatus gagal. Jadi, perkara inilah yang kita mahu atasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan tinjauan hari pertama peperiksaan SPM yang melibatkan 247 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 420,879 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.