
LABUAN, 23 November – Seramai 1,407 calon di Labuan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
- Peperiksaan melibatkan calon sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian di 14 pusat peperiksaan seluruh Labuan.
- Pusat Gerakan Bencana diaktifkan bagi menghadapi kemungkinan bencana dan kecemasan sepanjang tempoh peperiksaan.
- Seramai 104 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan dan perjalanan peperiksaan berjalan lancar.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata, peperiksaan melibatkan calon sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian itu dilaksanakan di 14 pusat peperiksaan di seluruh Labuan.
‘Langkah siap siaga Monsun Timur Laut juga telah diambil dengan mengaktifkan Pusat Gerakan Bencana bagi menghadapi kemungkinan bencana dan situasi kecemasan sepanjang tempoh peperiksaan.
“Calon yang terlibat atau terkesan dengan sebarang bencana juga diminta segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, seramai 104 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan perjalanan peperiksaan.
Terdahulu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan pada pagi tadi.