
BRASILIA, 23 November – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat masalah usus, dilaporkan tidak mengalami kesakitan sepanjang malam dan sudah mampu berjalan, menurut isterinya pada Ahad.
- Bolsonaro dimasukkan ke Hospital DF Star pada Jumaat selepas doktor mengesan masalah usus tersumbat akut.
- Pihak hospital memaklumkan keadaan klinikalnya stabil, dan beliau masih menerima rawatan termasuk berpuasa serta sokongan pemakanan.
- Hospital belum menyatakan bila beliau dijangka dibenarkan keluar.
Bolsonaro, 71, yang sedang menjalani tahanan di rumah selepas disabitkan kesalahan merancang rampasan kuasa dimasukkan ke Hospital DF Star di Brasilia pada Jumaat selepas doktor mendiagnosis masalah usus tersumbat akut.
Pihak hospital dalam satu kenyataan memaklumkan keadaan Bolsonaro kekal stabil dari segi klinikal dan beliau masih menjalani rawatan, termasuk berpuasa serta menerima sokongan pemakanan.
Bagaimanapun, pihak hospital tidak menyatakan bila beliau dijangka dibenarkan keluar.
Isterinya, Michelle Bolsonaro menerusi hantaran di Instagram memaklumkan, suaminya dapat berehat sepanjang malam tanpa mengalami kesakitan dan sudah melakukan aktiviti berjalan kaki.
“Teruskan berdoa agar fungsi ususnya kembali normal dan beliau tidak perlu menjalani prosedur rawatan yang lebih invasif,” katanya.
Bolsonaro yang memegang jawatan presiden dari 2019 hingga 2022 sering mengalami komplikasi pada bahagian abdomen sejak ditikam ketika kempen pilihan raya pada 2018 dan sudah menjalani beberapa pembedahan.
Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 27 tahun pada tahun lalu selepas didapati bersalah cuba mengekalkan kuasa selepas tewas kepada Luiz Inacio Lula da Silva dalam pilihan raya 2022.
Anak sulung Bolsonaro, Flavio yang bertanding dalam pilihan raya presiden Brazil bulan lalu turut tewas kepada Lula sebelum meninggalkan negara itu bersama keluarga terdekatnya untuk ke Amerika Syarikat. -AFP