Konflik jejas usaha bendung Ebola di Congo – WHO

Petugas kesihatan melakukan kerja pembasmian kuman pada sebuah kenderaan di timur Republik Demokratik Congo/ Foto AFP

GENEVA, 23 November – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa supaya keamanan dipulihkan di kawasan pusat wabak Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC), yang telah meragut hampir 5,700 nyawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertempuran sengit berhampiran sebuah hospital di Ituri memaksa petugas kesihatan berlindung di wad bersalin selama lebih 24 jam.
  • Konflik mengganggu operasi hospital dan usaha menangani Ebola, selain membahayakan pesakit, keluarga serta petugas kesihatan.
  • WHO berusaha mengatur laluan keluar yang selamat untuk pasukan perubatan serta melindungi hospital, kakitangan dan pesakit.
  • Penularan masih tinggi, terutama di Ituri dan Nord Kivu, sementara pengesanan awal dan rawatan segera kekal mencabar.

Menurut beliau, serangan di beberapa kawasan di timur negara itu semakin meningkat sejak akhir Oktober, sekali gus menjejaskan usaha menangani penularan wabak berkenaan.

“Mengikut perkembangan terkini, pertempuran sengit berterusan sejak semalam berhampiran sebuah hospital di Ituri, iaitu kawasan yang terletak berhampiran lokasi awal penularan wabak Ebola,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Beliau berkata, petugas kesihatan terpaksa berlindung di sebuah wad bersalin di hospital berkenaan selama lebih 24 jam bagi menyelamatkan diri.

Keadaan itu mengganggu operasi hospital dan usaha menangani wabak Ebola, selain meletakkan pesakit, keluarga serta petugas kesihatan dalam bahaya.

WHO sedang berusaha mengatur laluan keluar yang selamat untuk pasukan perubatan, selain memastikan kemudahan hospital, kakitangan dan pesakit dilindungi.

“Ubat yang paling baik ialah keamanan,” tegas Tedros.

Menurut WHO, sebanyak 5,678 kematian direkodkan daripada keseluruhan 11,613 kes dalam wabak Ebola terburuk yang pernah melanda negara Afrika Tengah itu.

Virus berkenaan telah merebak ke beberapa kawasan di timur dan timur laut DRC yang berdepan konflik serta keganasan selama lebih 30 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, WHO menerusi kemas kini pada Sabtu memaklumkan, meskipun jumlah kes menunjukkan sedikit penurunan di beberapa kawasan, penularan wabak pada tahap tinggi masih berterusan di seluruh negara.

Wilayah Ituri dan Nord Kivu kekal sebagai kawasan paling terjejas.

WHO turut memaklumkan bahawa kadar kematian yang tinggi dalam kalangan pesakit di komuniti, iaitu di luar pusat rawatan khusus, khususnya kanak-kanak kecil menunjukkan masih wujud cabaran dalam mengesan kes lebih awal dan memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya dengan segera.

Agensi kesihatan PBB itu sebelum ini menetapkan wabak berkenaan sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.