Letupan periuk api ragut lima nyawa kanak-kanak Syria

Periuk api/ Foto Human Rights Watch

DAMSYIK, 23 November – Lima kanak-kanak maut, manakala seorang lagi cedera dalam letupan periuk api di barat laut Syria.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan berpunca daripada periuk api peninggalan pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad.
  • Kejadian berlaku di kampung Um Khuzaym, kawasan pedalaman wilayah Idlib.
  • Selepas lebih 13 tahun perang saudara, periuk api dan bahan letupan masih bertaburan di beberapa kawasan Syria.
  • Antara Disember 2024 hingga awal September, 1,337 insiden bahan letupan mengakibatkan 2,375 orang terbunuh atau cedera, termasuk lebih 850 kanak-kanak.

Media kerajaan melaporkan, letupan itu berpunca daripada periuk api yang ditinggalkan ketika pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad sebelum kerajaan beliau digulingkan.

Kejadian berlaku di kampung Um Khuzaym, kawasan pedalaman di wilayah Idlib.

Periuk api dan bahan letupan yang belum meletup masih bertaburan di beberapa kawasan Syria selepas lebih 13 tahun negara itu dilanda perang saudara, yang menyaksikan pelbagai pihak menanam periuk api di kawasan tertentu.

Menurut mekanisme penyelarasan seluruh Syria yang diketuai Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNMAS), sebanyak 1,337 insiden berkaitan bahan letupan direkodkan antara kejatuhan kerajaan Assad pada Disember 2024 hingga awal September tahun ini.

Insiden berkenaan mengakibatkan 2,375 orang terbunuh atau cedera, termasuk lebih 850 kanak-kanak.

Pengurus Program Syria bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) HALO Trust, Simon Jackson memberitahu AFP pada September bahawa periuk api dan sisa bahan letupan yang belum meletup menyebabkan kira-kira seorang terbunuh atau cedera setiap enam jam.

Menurut laporan awal Landmine and Cluster Munition Monitor yang diterbitkan pada Jun, Syria mencatat jumlah korban tertinggi di dunia akibat periuk api dan sisa bahan letupan tahun lalu, dengan 1,600 orang terbunuh atau cedera. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.