
KUALA LUMPUR, 22 November – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat jangkitan paru-paru hari ini.
- Meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang, menurut adik bongsu.
- Jenazah berada di kediaman Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat; dijangka disolat dan dikebumikan di Gombak esok pagi.
- Dilantik Senator pada 3 November 2014; berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara 18 April 2016 hingga 2 November 2020.
- Pernah bertugas sebagai guru, setiausaha akhbar, setiausaha sulit kanan kepada bekas Perdana Menteri dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pertama.
Adik bongsu Allahyarham, Zulkhairi Abd Samad berkata abangnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 4.20 petang.
“Allahyarham sudah beberapa tahun sakit paru-paru sebelum mengalami kerosakan injap jantung dan sering keluar masuk ke hospital.
“Semalam, secara tiba-tiba Allahyarham tidak sedarkan diri dan doktor memberitahu kemungkinan ia berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-parunya,”katanya.
Zulkhairi berkata jenazah kini berada di kediamannya di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat dan dijangka disolat serta dikebumikan di Gombak pagi esok.
Datuk Seri Abdul Halim, yang berasal dari Kuantan, Pahang meninggalkan isteri, Iasah Ibrahim dan tiga anak.
Beliau dilantik sebagai Senator pada 3 November 2014 dan berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dari 18 April 2016 hingga 2 November 2020.
Datuk Seri Abdul Halim pernah bertugas sebagai guru, setiausaha akhbar dan setiausaha sulit kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta merupakan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang pertama.
Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan KUB Malaysia Bhd dan terlibat dalam persatuan kebajikan masyarakat.-BERNAMA