F1: Ketua Ferrari ‘naik angin’, Leclerc-Hamilton bertembung lagi

Pemandu Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc / Foto AFP

LAS VEGAS, 22 November– Tindakan Charles Leclerc yang disifatkan tidak menghormati rakan sepasukan selepas bertembung dengan Lewis Hamilton, dikritik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fred Vasseur berang, anggap perlanggaran merosakkan perlumbaan dan tunjuk sikap tidak menghormati pasukan, penaja dan pekerja.
  • Leclerc dikenakan penalti 10 saat, tamat di tempat ke-10; Hamilton berada di kedudukan ketujuh.
  • Ketegangan bermula awal, Hamilton mengeluarkan kata-kata kesat melalui radio sambil meminta Leclerc beri ruang.

Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur berkata insiden terbaharu itu menjejaskan perlumbaan Grand Prix (GP) Las Vegas.

Vasseur dilaporkan berang selepas Leclerc berlanggar dengan Hamilton pada pusingan ke-38 di Las Vegas.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas kedua-dua pemandu diberi peringatan bahawa kepentingan pasukan perlu diutamakan susulan insiden sama ketika GP Mexico.

Leclerc kemudian dikenakan penalti 10 saat selepas siasatan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, manakala Hamilton berada di kedudukan ketujuh.

“Sejujurnya, bagi saya kejadian seperti ini sekali lagi sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Saya menggunakan perkataan sama selepas GP Mexico, tetapi ini menunjukkan sikap tidak menghormati. Ia tidak menghormati pasukan, penaja dan paling utama mereka yang bekerja keras di belakang tabir,” kata Vasseur mengulas insiden berkenaan.

Tanda-tanda ketegangan berterusan antara Leclerc dengan Hamilton sudah mula kelihatan pada peringkat awal perlumbaan.

Hamilton yang berasa kecewa sempat mengeluarkan kata-kata kesat menerusi komunikasi radio ketika meminta pasukan mengarahkan Leclerc supaya “memberi ruang” ketika dia sedang berusaha mengejar kelompok pendahulu.

Vasseur berkata, beliau sudah memberi amaran kepada Leclerc beberapa ketika sebelum perlanggaran dengan Hamilton berlaku.

“Saya rasa saya sudah bertegas.

“Mesej itu disampaikan kepada Charles lima selekoh sebelum kejadian. Bagi saya, itu satu kesilapan profesional,” katanya.

“Saya tahu dia sudah memohon maaf dan menyesali kejadian itu. Tetapi sekali merosakkan perlumbaan yang sebenarnya mampu dilalui dengan jauh lebih baik … kami tidak boleh kehilangan mata dengan cara seperti ini.

“Lebih daripada kehilangan mata, ia turut menjejaskan motivasi semua pihak serta penghargaan terhadap kerja keras dan usaha yang telah dilakukan. Perkara ini benar-benar mengecewakan saya.”

Ketika ditanya sama ada kedua-dua pemandu turut bertanggungjawab terhadap kontroversi terbaharu itu, Vasseur menjawab: “Tidak, saya rasa keputusan FIA sudah cukup jelas.” -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.