
PUTRAJAYA, 22 November- Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pengajian hadis ke peringkat antarabangsa menerusi program Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi dan Al-Syamail Al-Muhammadiyyah 2026 mendapat penghargaan ulama India, Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim Al Azhari.
- Program membuka ruang kerjasama ilmu dan pertukaran tenaga pengajar antara Malaysia dan India.
- Pengajian meliputi Sihahus Sittah, Muwatta, Mishkat dan kitab hadis lain, dipelajari secara riwayah dan dirayah.
- Usaha terjemahan Kitab Syamail ke pelbagai bahasa, termasuk harapan terjemah ke bahasa Melayu untuk lebih kefahaman.
- Program 11 hari menghimpunkan lebih 5,000 peserta antarabangsa, dengan 10 ulama menyampaikan pengajian dan kupasan kitab.
Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim menyifatkan penganjuran program di Masjid Putra, di sini itu sebagai usaha bermakna yang membuka ruang kerjasama antara Malaysia dengan India dalam memperluas pengajian hadis.
“Program ini merupakan satu inisiatif yang sangat hebat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya amat menghargainya.
“Kami berminat untuk bekerjasama dalam pertukaran ilmu, berkongsi tenaga pengajar, penceramah dan profesor, khususnya dalam bidang ilmu hadis yang diajarkan oleh ulama besar secara dirayah.

“Ilmu hadis itu merangkumi pengajian Sihahus Sittah, Muwatta dan Mishkatul Masabih serta kitab-kitab lain yang dipelajari selama bertahun-tahun,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.
Syeikh Dr Muhammad Abd Hakim berkata pihaknya telah memulakan usaha mempromosikan Kitab Syamail di India menerusi penerbitan buku yang akan diterjemahkan ke beberapa bahasa.
Beliau berharap kitab berkenaan turut diterjemahkan ke Bahasa Melayu bagi membolehkan lebih ramai masyarakat memahami dan mendalami keperibadian Rasulullah SAW.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Pondok-Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al Makki berkata penganjuran majlis ilmu seumpama itu wajar diteruskan bagi memperkukuh penguasaan masyarakat terhadap ilmu hadis.

“Majlis seperti ini perlu diteruskan sebab kita nak belajar dan mahu sebarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
“Di Malaysia ini, pengetahuan berkaitan hadis masih lagi lemah tidak seperti di negara Arab dan India,” katanya.
Program selama 11 hari yang berlangsung dari 13 hingga 23 November itu menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, China, Jepun, India, Bangladesh dan Oman.
Pengajian memberi tumpuan kepada kitab Jami’ al-Tirmizi dan Al-Syamail al-Muhammadiyyah menerusi pembacaan hadis, pengajian riwayah dan dirayah serta sesi syarahan dan kupasan oleh 10 tokoh ulama antarabangsa dan tempatan.
Selain memperkukuh kefahaman terhadap ilmu hadis, pengajian Al-Syamail turut memberi ruang kepada peserta mendalami sifat, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian.