
KUCHING, 22 November- Dasar dan perundangan yang bercanggah dengan semangat pembentukan Malaysia perlu diperbetulkan bagi memastikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri terus terpelihara.
- Usaha mengembalikan hak Sarawak mesti dijalankan secara harmoni melalui persefahaman dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
- Pembahagian kuasa antara persekutuan, negeri dan bidang kuasa bersama mesti dihormati bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab berjalan lancar.
- Rundingan perlu mencari formula terbaik tanpa mengorbankan kepentingan Sarawak mahupun kepentingan nasional.
- Isu pertindihan bidang kuasa dan sempadan maritim perlu diperhalusi mengikut undang-undang maritim antarabangsa dan pengiktirafan kedaulatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha mengembalikan hak Sarawak perlu dilaksanakan secara harmoni menerusi persefahaman dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
“Kadang-kadang ada dasar dan juga perundangan yang bercanggah dengan semangat penubuhan Malaysia dulu. Itu yang kita nak perbetulkan balik,” katanya.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan bidang kuasa bersama yang perlu dihormati bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab masing-masing berjalan lancar.
Menurutnya, sebarang rundingan perlu mencari formula terbaik tanpa mengorbankan kepentingan Sarawak mahupun kepentingan nasional, memandangkan kemajuan dan kemakmuran negeri itu turut memberi manfaat kepada Persekutuan.
Datuk Seri Fadillah turut menyentuh isu pertindihan atau pencerobohan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak termasuk berkaitan Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, khususnya dalam aspek maritim.
Katanya, perkara berkaitan sempadan serta bidang kuasa maritim Sarawak dan Persekutuan perlu diperhalusi melalui rundingan yang baik, mengambil kira keperluan perundangan maritim antarabangsa serta pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Juh Melabur, Anak Sarawak’ anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di sini, hari ini.