MYReaders: Peruntukan RM100,000 tahun depan, perluas program literasi

Datuk Seri Fahmi Fadzil di Majlis Penutupan Program MYReaders 2026

KUALA LUMPUR, 22 November – Budaya membaca perlu terus dipupuk dalam kalangan kanak-kanak bagi memperluas pengetahuan, membina keyakinan diri serta meningkatkan penguasaan bahasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan MYReaders dinaikkan kepada RM100,000 tahun depan untuk perluaskan pelaksanaan ke lebih banyak kawasan.
  • Program guna pendekatan bimbingan individu dengan sukarelawan dipadankan untuk tingkatkan kefasihan membaca dan penguasaan bahasa.
  • Pemberian baucar buku RM100 kepada setiap peserta galakkan mereka mendapatkan bahan bacaan menjelang cuti persekolahan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan positif peserta program MYReaders, khususnya peningkatan minat membaca dan kefasihan bertutur, termasuk dalam bahasa Inggeris, membuktikan kepentingan memupuk budaya berkenaan sejak peringkat awal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, peruntukan bagi program MYReaders akan ditingkatkan kepada RM100,000 tahun depan, berbanding RM50,000 tahun ini, bagi memperluas pelaksanaannya ke lebih banyak kawasan.

“Program ini dimulakan pada 2018 dan kini memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya. Sempena ulang tahun ke-10 tahun depan, kita akan menyediakan dana RM100,000 untuk memperluas program ini ke beberapa kawasan lain.

“Kita mendapati ramai ibu bapa selesa apabila kelas diadakan berhampiran kawasan kediaman mereka. Insya-Allah, kita akan menyasarkan beberapa lokasi baharu yang sebelum ini belum termasuk dalam senarai, selain memperluas pelaksanaan ke lebih banyak kawasan di Lembah Pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program MYReaders 2026 di ibu negara.

Datuk Seri Fahmi menegaskan kepentingan amalan membaca bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu bergantung kepada peranti digital dan media sosial.

Beliau mengambil contoh Sweden yang menunjukkan kecenderungan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan penulisan dan pembacaan buku, berbanding kebergantungan kepada peranti digital.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Fahmi turut mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada setiap peserta program tahun ini bagi menggalakkan mereka mendapatkan bahan bacaan menjelang cuti persekolahan.

Program MYReaders yang diperkenalkan pada 2018 bertujuan memastikan kanak-kanak di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai berpeluang menguasai kemahiran membaca menerusi bimbingan tersusun dan berterusan dengan sokongan komuniti setempat.

Program literasi itu dilaksanakan dari April hingga November 2026 menerusi sumbangan dana Pejabat Parlimen Lembah Pantai.

Memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya, MYReaders menggunakan pendekatan bimbingan individu dengan setiap murid dipadankan dengan seorang sukarelawan yang membimbing mereka berdasarkan tahap penguasaan membaca masing-masing.

Sepanjang pelaksanaannya, program itu memberi manfaat kepada lebih 300 pelajar dengan sokongan lebih 500 sukarelawan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.