Hilang kaki akibat bedilan zionis, Christina Assi terima anugerah CPJ

Christina Assi/Foto AFP

NEW YORK, 20 November – Wartawan AFP Christina Assi yang kehilangan sebelah kaki akibat serangan Israel ketika membuat liputan di sempadan Lubnan menerima Anugerah Kebebasan Akhbar oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan diberikan atas kelantangan dan usaha gigih beliau memperjuangkan keselamatan petugas media di zon konflik.
  • Dalam kejadian Oktober 2023, wartawan Issam Abdallah terkorban; enam cedera termasuk Assi dan wartawan AFP Dylan Collins.
  • Siasatan AFP mendapati dua butir peluru kereta kebal 120mm Israel dilepaskan dari kawasan Jordeikh ke arah wartawan, dan disokong siasatan antarabangsa.
  • Sejak itu Assi terus tuntut keadilan, menggerakkan kempen keselamatan wartawan dan menyokong program bantuan serta membawa obor Olimpik Julai 2024.

Pengiktirafan itu diberikan atas kelantangan dan usaha gigih beliau memperjuangkan aspek keselamatan para petugas media di zon konflik.

Dalam kejadian pada Oktober 2023, wartawan Reuters Issam Abdallah terkorban manakala enam yang lain cedera termasuk Assi dan seorang lagi wartawan AFP Dylan Collins.

Ketika insiden mereka sedang membuat liputan konflik berhampiran sempadan Israel.

Siasatan bebas yang dijalankan AFP mendapati dua butir peluru kereta kebal 120mm milik Israel telah dilepaskan dari kawasan Jordeikh di utara negara haram itu ke arah kumpulan wartawan berkenaan.

Dapatan tersebut turut disokong oleh beberapa siasatan antarabangsa lain termasuk oleh Reuters, CPJ, Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), Amnesty International dan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Sejak insiden berkenaan, Assi yang merupakan jurugambar serta penyunting foto warga Lubnan tidak pernah jemu menuntut keadilan buat rakan setugasnya yang terkorban.

Beliau juga menggerakkan kempen meningkatkan keselamatan wartawan di zon perang dan menyokong program bantuan untuk petugas media yang cedera di lapangan.

Pada Julai 2024, beliau turut diberi penghormatan membawa obor Olimpik di Paris sebagai simbolik memperingati pengamal media yang terkorban ketika menjalankan tugas.

“Saya gembira dan berbesar hati, namun pada masa sama berasa marah serta sedih memikirkan sebab di sebalik anugerah ini.

“Kita telah kehilangan terlalu ramai rakan seperjuangan sejak tiga tahun lalu dan segala usaha serta advokasi yang dilakukan setakat ini masih dirasakan belum mencukupi,” kata Assi.

Sementara itu, Pengarah Berita AFP Phil Chetwynd menegaskan serangan terhadap Christina dan rakan-rakan wartawannya merupakan satu jenayah perang yang jelas.

“Pihak AFP telah berulang kali menuntut jawapan daripada Israel, namun hanya dibalas dengan kebisuan. Kita tidak boleh membiarkan budaya terlepas daripada hukuman ini terus diterima,” tegasnya.

Selain Assi, turut menerima Anugerah Kebebasan Akhbar CPJ pada majlis sama ialah wartawan penyiasatan Hungary, Szabolcs Panyi yang membongkar kes rasuah di bawah pentadbiran Viktor Orban, serta wartawan Colombia, Estefany Rodriguez yang pernah ditahan di Amerika Syarikat (AS) ketika membuat liputan mengenai penguatkuasaan imigresen.

CPJ merupakan sebuah pertubuhan bebas berpangkalan di AS yang komited mempertahankan kebebasan akhbar di seluruh dunia.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.