
TOKYO, 20 November – Pasaran saham Jepun dan Korea Selatan menjunam pada awal sesi dagangan hari ini susulan kejatuhan saham berkaitan semikonduktor di Wall Street, meskipun penyenaraian sulung syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic mencatatkan prestasi cemerlang.
- Penyenaraian IPO Anthropic berjaya, saham ditutup 17% lebih tinggi pada hari pertama di Nasdaq.
- Lonjakan IPO gagal meredakan kebimbangan pelabur berkaitan krisis yang melibatkan gergasi AI, Nvidia.
- Firma pembrokeran Monex amaran permintaan kukuh mungkin mengalihkan dana dari saham teknologi lain ke Anthropic.
Pada sekitar pukul 8.35 pagi waktu Malaysia, indeks utama Bursa Saham Tokyo, Nikkei 225 susut 4.02 peratus kepada 57,051.43 mata, manakala indeks penanda aras Korea Selatan, Kospi merosot 3.81 peratus kepada 4,942.22 mata.
Anthropic yang merupakan pencipta bot sembang (chatbot) Claude berjaya mengumpul rekod dana sebanyak AS$81.3 bilion dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.
Harga sahamnya ditutup 17 peratus lebih tinggi pada hari pertama dagangan di Nasdaq, semalam.
Bagaimanapun, lonjakan tersebut berlaku ketika pasaran Wall Street mengalami hari yang suram apabila indeks teknologi, Nasdaq dan indeks meluas S&P 500 kedua-duanya ditutup susut lebih dua peratus.
Rekod IPO terbabit turut gagal meredakan kebimbangan pelabur yang sedang berdepan kesan susulan krisis membabitkan gergasi AI, Nvidia.
Firma pembrokeran dalam talian, Monex memaklumkan berdasarkan permintaan kukuh terhadap saham Anthropic, terdapat pandangan berkemungkinan berlaku peralihan dana keluar daripada saham teknologi tinggi lain bagi membeli saham syarikat yang baharu disenaraikan itu.- AFP