Jenazah penderma organ Muhammad Aidil selamat dikebumikan di Pengkalan Chepa

Jenazah Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, Pengkalan Chepa/ BERNAMA

KOTA BHARU, 19 November – Jenazah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23 tahun, yang mendermakan organ kepada pesakit lain, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, pada pukul 2.18 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah disolatkan di Masjid Mustaqim; lebih 300 keluarga, sahabat dan penduduk hadir memberi penghormatan terakhir.
  • Rakan-rakan menggambarkan beliau sebagai sahabat baik, pemurah, mudah didekati dan sering mengingatkan rakan supaya menjaga solat.
  • Pendermaan organ berjaya memperolehi tulang, hati, buah pinggang dan kornea; keluarga memberi persetujuan, hospital lakukan 'Honor Walk'.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid Mustaqim, Taman Desa Kemumin selepas solat Zohor. Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan penduduk setempat hadir memberikanpenghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Rakan karib Allahyarham, Muhammad Haiqal Izham Saifulmizam, 21 tahun, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat yang baik, mesra dan mudah didekati, selain tidak lokek menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan.

Beliau berkata, hasrat Allahyarham untuk mendermakan organ pernah diluahkan ketika mereka berbual santai, namun beliau hanya mengetahui hasrat murni itu direalisasikan selepas dimaklumkan keluarga Allahyarham.

“Dia seorang yang sangat baik, tidak pernah berkira dengan rakan-rakan dan sentiasa membantu. Kalau kita perlukan pertolongan, dialah antara orang yang paling boleh diharapkan”, katanya.

Seorang lagi rakan allahyarham Imam Al Hakimi Ismail Asri menyfatkan Allahyarham seorang yang sangat baik dan tidak kedekut. Beliau sentiasa mengingatkan rakan-rakan supaya tidak meninggalkan solat.

“Walau sejahat mana pun kita, solat tetap perlu dijaga, itu pesanan yang sering disampaikan Allahyarham. Allahyarham juga menganggap rakan-rakan seperti keluarga sendiri. Rakan-rakan yang lebih muda pula menganggapnya seperti seorang abang”, katanya.

Sementara itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memaklumkan, proses pendermaan organ berjaya memperoleh tulang, hati, buah pinggang dan kornea untuk dipindahkan kepada pesakit yang memerlukan.

Allahyarham yang merupakan pengikrar derma organ meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya dan disahkan mengalami kematian otak mengikut protokol perubatan ditetapkan.

Pihak keluarga kemudian memberikan persetujuan untuk meneruskan proses pendermaan organ bagi merealisasikan hasrat murni Allahyarham.

Terdahulu, kakitangan hospital turut memberikan penghormatan terakhir menerusi upacara ‘Honor Walk’ sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan Allahyarham yang memberi peluang kehidupan baharu kepada pesakit lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.