Projek jalan orang asli Gua Musang catat kemajuan 26.75%

Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 November – Projek pembinaan jalan perhubungan desa di kawasan penempatan orang asli di Gua Musang, Kelantan, mencatat kemajuan fizikal sebanyak 26.75 peratus setakat Oktober 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek 94 kilometer bernilai RM190 juta bahagi Program Pembangunan Bersepadu Gua Musang, merangkaikan enam laluan ke penempatan Orang Asli.
  • Kerja fizikal termasuk penyelenggaraan jalan sedia ada dan pembinaan jambatan sementara bagi memastikan akses penduduk tempatan tidak terputus.
  • JAKOA, JKR dan kerajaan negeri diperkukuh penyelarasan; urus kelulusan pewartaan, penyerahan tanah dan pemantauan berkala untuk selesaikan isu teknikal.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, projek sepanjang 94 kilometer itu melibatkan enam laluan.

“Projek membina dan menyiapkan jalan perhubungan desa di Kuala Berti, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balah, Pos Hal, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM190 juta sepanjang 94 kilometer merupakan komponen utama di bawah Program Pembangunan Bersepadu Gua Musang.

“Kerja-kerja fizikal di tapak merangkumi penyelenggaraan jalan sedia ada dan pembinaan jambatan sementara bagi memastikan akses serta laluan penduduk tempatan tidak terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim di Dewan Rakyat di sini, hari ini

Menurut Datuk Rubiah, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang memperkukuh penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Kelantan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.

Antara langkah diambil termasuk mempercepat urusan kelulusan pewartaan, penyerahan tanah serta kebenaran izin lalu merentasi hutan simpan kekal, selain melaksanakan pemantauan berkala bagi mengenal pasti dan menangani sebarang isu teknikal serta keperluan tapak.

“Yang kedua, pemantauan berkala dan penyelesaian isu, melaksanakan sesi pemantauan secara berjadual serta penyelarasan berkala antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), JAKOA, JKR dan pihak berkuasa negeri untuk mengenal pasti dan menangani sebarang isu-isu teknikal kelulusan tapak mahupun syarat-syarat persekitaran secara serta-merta,” katanya.

Menurut Datuk Rubiah, projek pembinaan jalan bertaraf R1 sepanjang 94 kilometer itu dijangka memberi manfaat kepada komuniti orang asli di beberapa penempatan pedalaman Gua Musang.

“Pembinaan jalan bertar standard R1 sepanjang 94 kilometer ini bakal merangkaikan pos-pos pedalaman seperti Pos Bihai, Pos Belatin, Pos Bala dan Pos Hal ke Pusat Bandar Kuala Beteis.

“Kemudahan itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan tahap keselamatan perhubungan darat, malah membolehkan perkhidmatan asas termasuk kesihatan, pendidikan dan bantuan kebajikan disalurkan secara lebih berkesan serta merangsangkan pertumbuhan ekonomi masyarakat orang asli,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.