JSJN perkukuh kerjasama antarabangsa banteras jenayah narkotik rentas sempadan

Foto JSJN

KUALA LUMPUR, 19 November – Ancaman jenayah narkotik yang semakin kompleks dan merentasi sempadan negara terus menjadi tumpuan kerjasama penguatkuasaan antarabangsa menerusi penyertaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam 5th World Police Summit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

RINGKASAN BERITA AI
  • JSJN berpeluang berkongsi kepakaran dan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di peringkat global.
  • Agenda menumpukan jenayah narkotik dan jenayah terancang, serta pemodenan pengesanan dan operasi mengejar suspek rentas sempadan.
  • Penyertaan meninjau teknologi dan inovasi penguatkuasaan, mencerminkan komitmen PDRM memperluas jaringan strategik antarabangsa.

JSJN dalam satu kenyataan memaklumkan, Pengarahnya, CP Datuk Hussein Omar Khan menghadiri persidangan yang berlangsung tiga hari di Dubai World Trade Centre dari 16 hingga 18 November, atas jemputan Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Dadah Kebangsaan (NDEA), UAE.

Penyertaan itu memberi peluang kepada JSJN mengikuti perkongsian kepakaran serta perbincangan strategik berkaitan usaha membanteras jenayah narkotik dan jenayah terancang, selain memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di peringkat global.

Pada hari kedua persidangan, agenda ‘Anti-Narcotic and Organized Crime’ menjadi antara fokus utama perbincangan yang mengetengahkan cabaran serta pendekatan menangani ancaman jenayah berkenaan.

Selain itu, persidangan turut membincangkan pemodenan sistem pengesanan, operasi mengejar suspek rentas sempadan serta tadbir urus penguatkuasaan menerusi sesi bertajuk ‘Enterprise Tracking Architecture: Modernizing Cross-Border Pursuit and Governance’.

Pengarah JSJN turut mengikuti sesi perkongsian Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bertajuk ‘Border and Migration Security from Malaysia’s Perspective’ yang mengetengahkan perspektif Malaysia mengenai keselamatan sempadan dan migrasi.

“Penyertaan dalam persidangan itu turut membuka ruang kepada pihaknya meninjau teknologi dan inovasi terkini dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, khususnya yang berpotensi dimanfaatkan bagi membanteras jenayah dadah rentas sempadan,” menurut JSJN menerusi kenyataan di Facebook, malam tadi.

Persidangan berkenaan menghimpunkan kepimpinan polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang dari lebih 110 negara, termasuk Federal Bureau of Investigation (FBI), INTERPOL, EUROPOL, New York Police Department (NYPD) dan Australian Federal Police.

Turut menyertai delegasi Malaysia ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, ACP Al Husin Halil.

Penyertaan JSJN mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa, selain memperkasa perkongsian kepakaran dan teknologi bagi menangani ancaman jenayah narkotik yang semakin kompleks.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.