
PUTRAJAYA, 19 November – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh penilaian berkesan dalam inisiatif geran penyelidikan baharu dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada pulangan ekonomi, malah mengambil kira penyelidikan terhadap kesejahteraan masyarakat.
- Kecemerlangan penyelidikan diukur melalui impak dan sumbangan kepada masyarakat, bukan semata-mata pencapaian akademik atau penerbitan.
- Perluas penglibatan politeknik dan kolej komuniti kerana kepakaran teknikal dan potensi penyelidikan gunaan menghasilkan inovasi bernilai tinggi.
- Perkukuh kerjasama TVET, universiti dan industri untuk gabungkan kepakaran praktikal dengan penyelidikan akademik menyokong pembangunan perindustrian.
- Pengiktirafan melalui anugerah mengangkat pencapaian penyelidik, editor dan penerbit, memperkukuh kedudukan penyelidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaburan penyelidikan negara menghasilkan manfaat sebenar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dan kehidupan rakyat.
Penilaian berkenaan merangkumi pulangan pelaburan (ROI) yang mengambil kira pulangan ekonomi serta pulangan atas nilai (ROV) yang mengukur sumbangan lebih luas kepada masyarakat.
“Pada masa sama, kita juga perlu mengambil kira bagaimana penyelidikan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Sesungguhnya, kecemerlangan sesebuah penyelidikan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau penerbitan ilmiah semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah impak dan sumbangannya terhadap masyarakat, negara, malah kepada dunia secara keseluruhannya”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malaysia Scopus Research Star Awards 2026 dan Journal CREME Awards 2026 di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan berkenaan kepentingan memperluas penglibatan politeknik dan kolej komuniti dalam ekosistem penyelidikan negara kerana institusi berkenaan mempunyai kepakaran teknikal serta hasil penyelidikan gunaan yang berpotensi menghasilkan inovasi bernilai tinggi.
“Institusi-institusi ini mempunyai kepakaran yang bernilai hasil daripada pendidikan teknikal serta penglibatan rapat dengan pihak industri.
“Penyelidikan gunaan yang dijalankan institusi-institusi ini sering menghasilkan inovasi yang turut wajar diberikan pengiktirafan dan perhatian yang lebih meluas”, jelasnya.
Selain itu, kerjasama lebih erat antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti serta rakan industri bagi menggabungkan kepakaran praktikal dengan penyelidikan akademik, sekali gus menghasilkan inovasi yang menyokong pembangunan perindustrian.
Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Elsevier dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut mengiktiraf pencapaian penyelidik serta sumbangan editor dan penerbit dalam memperkukuh kedudukan penyelidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.