
PUTRAJAYA, 18 November– Dana berjumlah RM11 bilion disalurkan kepada lebih 300,000 usahawan di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan tahun ini, bagi memperkukuh pertumbuhan perniagaan tempatan.
- Pendekatan ABCD: Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal dan Daya Pacu Pasaran untuk memperkukuh perniagaan tempatan.
- KUSKOP mahu memastikan PMKS berpeluang sertai rantaian bekalan syarikat penerima pelaburan langsung asing dan mendapat manfaat FDI.
- Kementerian peruntuk RM100 juta untuk melatih sekurang-kurangnya 100,000 usahawan, tekankan ilmu serta perancangan sebelum berniaga.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata usaha memperkasa perniagaan tempatan digerakkan menerusi pendekatan ABCD.
Strategi berkenaan merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal dan Daya Pacu Pasaran.
Jelasnya, anjakan produktiviti penting bagi membolehkan syarikat tempatan meningkatkan daya saing, khususnya dalam menghadapi persaingan harga daripada syarikat di China dan negara jiran.
Selain itu, usaha turut merangkumi pemudahan urusan berkaitan lesen dan pinjaman, peluasan akses pembiayaan serta pembukaan peluang pasaran.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga mahu memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan berpeluang menyertai rantaian bekalan syarikat yang menerima pelaburan langsung asing (FDI).
Sekali gus mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan ke negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, KUSKOP turut komited memperuntukkan RM100 juta tahun ini bagi melatih sekurang-kurangnya 100,000 usahawan menerusi program pembangunan kapasiti.
Steven berkata, pengetahuan dan persediaan merupakan aspek penting sebelum seseorang menceburi bidang keusahawanan.
“Yang penting, tidak kiralah sama ada ingin menceburi bidang pemasaran gabungan, menjalankan perniagaan sendiri, membuka kafe atau membuat pelaburan, perkara paling penting ialah ilmu. Jangan terburu-buru menceburi bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi Sidang Idea Malaysia (SIM 4): Idea Negara Makmur sempena Festival Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Beliau turut mengingatkan bakal usahawan supaya tidak menganggap penyediaan modal sahaja menjamin keuntungan segera, sebaliknya perlu mempunyai pengetahuan dan perancangan sebelum memulakan perniagaan.