Apple berdepan perbicaraan di Perancis, dakwaan mengehadkan jangka hayat produk

Foto AFP

PARIS, 18 November -Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple bakal dibicarakan di Paris pada Jun 2027 atas dakwaan menggunakan perisian untuk menyekat pengguna iPhone daripada membaiki peranti mereka di luar rangkaian pusat pembaikan yang dibenarkan syarikat itu, lapor Xinhua yang memetik laporan akhbar Le Figaro pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Apple dituduh menggunakan perisian menyukarkan pembaikan iPhone di luar pusat pembaikan rasmi antara Nov 2021 dan Julai 2024.
  • Pendakwaan mendakwa mekanisme teknikal mengesahkan nombor siri dan menyahaktif fungsi apabila komponen diganti di luar rangkaian rasmi.
  • Persatuan Stop Planned Obsolescence memfailkan aduan 2017 dakwa Apple sengaja memperlahankan iPhone lama melalui kemas kini perisian.
  • Pada 2020 Apple bersetuju membayar penyelesaian denda 25 juta euro dalam prosiding jenayah berkaitan amalan perdagangan mengelirukan.

Apple Inc dan anak syarikatnya, Apple Distribution International dijadualkan menghadapi perbicaraan selama empat hari bermula 17 Jun 2027.

Kedua-dua syarikat itu dituduh menggunakan mekanisme perisian bagi menyukarkan kerja pembaikan atau baik pulih beberapa model iPhone di luar rangkaian pusat pembaikan yang dibenarkan antara November 2021 hingga Julai 2024, dengan tujuan meningkatkan jualan peranti baharu serta pendapatan syarikat.

Menurut pihak pendakwaan, Apple disyaki menggunakan mekanisme teknikal untuk mengesahkan nombor siri komponen telefon dan menyahaktif fungsi tertentu apabila komponen berkenaan diganti di luar rangkaian pusat pembaikan rasminya.

Bagaimanapun, Apple menafikan dakwaan itu.

Pada 2017, persatuan Perancis, Stop Planned Obsolescence memfailkan aduan terhadap Apple dengan mendakwa syarikat itu sengaja memperlahankan prestasi model iPhone lama menerusi kemas kini perisian.

Pada 2020, Apple bersetuju membayar denda penyelesaian sebanyak 25 juta euro (US$27.6 juta) dalam prosiding jenayah berkaitan amalan perdagangan mengelirukan kerana tidak mendedahkan maklumat berkaitan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.