Malaysia-Perancis teliti potensi kerjasama tenaga nuklear

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia dan Perancis meneroka potensi kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk tenaga nuklear, khususnya dalam aspek latihan teknikal, teknologi
dan penglibatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU merangkumi keseluruhan rantaian nilai tenaga, termasuk latihan teknikal, penglibatan awam dan pemindahan teknologi untuk nuklear.
  • Kepakaran Perancis boleh menyokong pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN, khususnya pembangunan infrastruktur kabel dasar laut dan daratan.
  • Potensi pelaburan Perancis dalam pembuatan kabel dan turbin, termasuk kemungkinan pembinaan kilang di Malaysia.
  • Pembuatan tempatan boleh menjadikan kos pembinaan dan pemasangan APG lebih kompetitif bagi rangkaian sambungan elektrik serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu antara bidang yang diberi perhatian menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor tenaga.

“Salah satu bidang ialah bagaimana kita dapat melihat kemungkinan untuk mempertimbangkan nuklear dari segi latihan teknikal, penglibatan awam, teknologi yang ada dan juga bagaimana kita dapat meningkatkan kapasiti serta keupayaan tenaga tempatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Bersama Media, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kepakaran Perancis dalam keseluruhan rantaian nilai industri tenaga turut berpotensi menyokong pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG), khususnya dalam pembangunan infrastruktur kabel dasar laut dan daratan.

Katanya, keupayaan Perancis dalam pengeluaran kabel dan turbin membuka peluang kepada pelabur negara itu untuk mempertimbangkan pembinaan kilang pembuatan kabel di Malaysia.

Langkah itu berpotensi menjadikan kos pembinaan dan pemasangan infrastruktur APG lebih kompetitif, mengambil kira keperluan rangkaian sambungan elektrik yang luas antara negara anggota ASEAN.

Menurut beliau, pelaksanaan APG membabitkan beberapa rangkaian sambungan elektrik termasuk antara Vietnam dengan Malaysia, Semenanjung dengan Sarawak serta rangkaian ke Filipina dan Indonesia yang mempunyai banyak kepulauan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.