
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chiew Choon Man di Parlimen
KUALA LUMPUR, 17 November – Sebanyak 136 produk pelancongan tempatan yang diiktiraf di bawah Program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) telah menyediakan kemudahan asas mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
- Kriteria MyTQA menekankan penyediaan kemudahan mesra OKU, warga emas dan kanak-kanak sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
- Penambahbaikan MyTQA menggalakkan penerapan reka bentuk sejagat bagi memastikan kemudahan pelancongan lebih mudah diakses oleh semua.
- Usaha pelaksanaan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, pemain industri dan komuniti setempat.
- Tourism Malaysia terus promosikan pakej bernilai tinggi, acara berskala besar serta segmen MICE, kesihatan, gastronomi dan perkahwinan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chiew Choon Man memaklumkan, penyediaan kemudahan mesra OKU, warga emas serta kanak-kanak merupakan antara kriteria utama penilaian MyTQA selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG).
“Penambahbaikan kriteria MyTQA akan terus menggalakkan penerapan reka bentuk sejagat bagi memastikan kemudahan pelancongan lebih mudah diakses oleh semua.”
“Namun, usaha ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemain industri dan komuniti setempat,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan kementeriannya di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
Sementara itu, beliau berkata Tourism Malaysia akan terus mempergiat promosi pakej pelancongan bernilai tinggi serta penganjuran acara berskala besar bagi meningkatkan tempoh penginapan dan kadar perbelanjaan pelancong di negara ini.
Antara acara berimpak tinggi yang menjadi tumpuan termasuk Citrawarna Festival Budaya Malaysia, perlumbaan PETRONAS Grand Prix Malaysia (MotoGP) dan China GT.
“Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada segmen khusus yang berpotensi menarik pelancong berbelanja tinggi seperti acara perniagaan (MICE), pelancongan kesihatan, gastronomi serta pelancongan perkahwinan,” tambahnya.