
KUALA LUMPUR, 17 November – Kerjasama Malaysia dan Perancis menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor unsur nadir bumi (REE) berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi industri mineral negara, khususnya dalam aspek pemprosesan dan pembangunan teknologi bernilai tinggi.
- Pemindahan teknologi dan kepakaran Perancis meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi.
- Syarikat tempatan harus dilibatkan; tenaga kerja Malaysia perlu mendapat manfaat demi pemindahan teknologi yang berkesan.
- Kelestarian mesti diutamakan melalui perjanjian telus, tadbir urus baik dan penguatkuasaan piawaian alam sekitar ketat.
- Pengurusan REE perlu ambil kira keselamatan, pengurusan sisa dan pemulihan alam sekitar untuk pembangunan industri mampan.
Kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang kepada kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, malah berpotensi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim berkata, pemindahan teknologi dan kepakaran Perancis penting bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global industri berteknologi tinggi.
“Malaysia perlu melihat kerjasama dengan Perancis ini bukan sekadar peluang perdagangan atau pelaburan, sebaliknya sebagai pemangkin kepada transformasi industri mineral negara.
“Paling penting, syarikat tempatan perlu turut terlibat, tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat dan pemindahan teknologi dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, aspek kelestarian alam sekitar perlu diberi keutamaan menerusi perjanjian yang telus, tadbir urus yang baik serta penguatkuasaan piawaian alam sekitar yang ketat.
Pengurusan sumber REE juga perlu mengambil kira aspek keselamatan, pengurusan sisa dan pemulihan alam sekitar bagi memastikan pembangunan industri berkenaan dilaksanakan secara mampan.
Justeru, kejayaan kerjasama itu bukan hanya diukur berdasarkan nilai pelaburan yang dibawa masuk, tetapi juga keupayaan Malaysia membangunkan industri, memperkukuh kepakaran tempatan dan menjana nilai ekonomi jangka panjang.