
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Parlimen
KUALA LUMPUR, 17 November – Kerajaan memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada penyedia platform digital untuk menyediakan mekanisme tindakan automatik bagi menangani kandungan deepfake dan bahan palsu yang dimuat naik berulang kali.
- Kegagalan platform mengambil tindakan terhadap aduan berulang ialah cabaran utama bagi kerajaan dan MCMC.
- Platform yang gagal patuhi Kod Pengurangan Risiko di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 boleh dikenakan denda RM1 juta hingga RM10 juta.
- MCMC diminta panggil 10 penyedia telekomunikasi untuk bangunkan pengesahan identiti kontraktor, termasuk cadangan penggunaan kod QR, bagi bendung kecurian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kegagalan platform mengambil tindakan terhadap aduan berulang menjadi antara cabaran utama kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, tindakan termasuk denda antara RM1 juta hingga RM10 juta bagi setiap kesalahan boleh dikenakan terhadap platform yang gagal mematuhi Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
“Seperti yang saya nyatakan dalam jawapan tadi, Kod Pengurangan Risiko atau Risk Mitigation Code (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu. Kita memberikan tempoh kepada penyedia platform untuk menyediakan kerangka tindakan automatik sehingga hujung tahun ini.
“Sekiranya mereka gagal mengambil tindakan dan masalah yang sama terus berulang, denda antara RM1 juta hingga RM10 juta bagi setiap kesalahan boleh dikenakan. Kerajaan memberikan sedikit masa kepada penyedia platform untuk melaksanakan mekanisme berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Alor Setar mengenai keperluan platform digital menyaring kandungan deepfake sebelum diterbitkan serta mengesan pihak yang menghasilkannya di Parlimen.
Dalam perkembangan lain, MCMC diminta memanggil 10 syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membangunkan mekanisme pengesahan identiti kontraktor dan petugas penyelenggaraan, termasuk cadangan penggunaan kod QR.
Fahmi berkata, langkah itu bertujuan membendung kegiatan penyamaran untuk mencuri kabel serta melakukan vandalisme terhadap infrastruktur komunikasi.
Sebanyak 9,431 insiden kecurian dan kerosakan infrastruktur komunikasi direkodkan melibatkan 10 penyedia perkhidmatan bagi tempoh pertengahan 2025 hingga separuh pertama tahun ini.