12,176 warga Myanmar dihantar pulang setakat 31 Oktober

Foto fail/ Kementerian Dalam Negeri

KUALA LUMPUR, 17 November – Seramai 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal, setakat 31 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,476 tahanan dihantar pulang pada 29 September menerusi operasi berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.
  • KDN memaklumkan rekod berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan negara asal, bukan khusus merujuk etnik Rohingya.
  • Menurut UNHCR, 133,400 etnik Rohingya didaftar sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia setakat 30 September.
  • Rekod Jabatan Imigresen: daripada 11,208 tahanan warga Myanmar, 6,294 etnik Rohingya direkodkan dalam tahanan setakat 31 Oktober.

Daripada jumlah tersebut, 1,476 tahanan dihantar pulang pada 29 September lalu menerusi operasi berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di Portal Parlimen hari ini memaklumkan rekod itu berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya merujuk secara khusus pada etnik Rohingya.

Kementerian itu menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengenai jumlah etnik Rohingya yang berada di Malaysia, bilangan yang dihantar pulang ke Myanmar pada tahun ini serta pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sekiranya kembali ke negara asal.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), 133,400 etnik Rohingya didaftar sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia setakat 30 September lepas.

Sementara itu, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), daripada 11,208 tahanan warga Myanmar, 6,294 etnik Rohingya direkodkan berada dalam tahanan di Depot Tahanan (DTI) seluruh negara setakat 31 oktober.

Proses penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi tujuan pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan dan pengeluaran dokumen perjalanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.