
KUALA LUMPUR, 17 November – Sebanyak 1,643 daripada 34,544 cerun di seluruh negara dikenal pasti berisiko sangat tinggi dan dipantau rapi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
- Laluan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dikenal pasti kawasan cerun paling kritikal; kerja baik pulih sedang dijalankan dan laluan sementara dibuka.
- Pemantauan cerun diperkukuh menggunakan tolok hujan, penderia kecondongan, GNSS, piezometer, inklinometer dan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh.
- BiGBen JKR beroperasi 24 jam, menyelaraskan tindakan dengan Jurutera Daerah sebagai barisan hadapan; dapatkan maklumat melalui eBencana dan laman JKR.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, laluan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dikenal pasti sebagai lokasi yang mempunyai kawasan cerun paling kritikal.
Kerja-kerja membaik pulih cerun di laluan berkenaan sedang dilaksanakan dan dipantau dengan teliti.
“Simpang Pulai ke Cameron Highlands. Itu yang paling berisiko ya. Ada kerja-kerja pembinaan membaiki cerun di situ, dan kita boleh memantau daripada atas, ada kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung. Tadi saya dapat melihat sendiri apa yang berlaku,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, laluan berkenaan masih boleh digunakan berikutan penyediaan jalan sementara sepanjang kerja-kerja membaik pulih di kawasan berkenaan.
Datuk Seri Dr. Ahmad berkata demikian pada sesi sidang media Majlis Kesiapsiagaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) Menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027 di Ibu Pejabat JKR, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pemantauan cerun diperkukuh menerusi penggunaan pelbagai instrumen termasuk Tolok Hujan, Penderia Kecondongan, Stesen Jumlah Robotik, Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), Piezometer dan Inklinometer, serta Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (SAATR).
Mengenai Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau memaklumkan segala maklumat pemantauan diselaraskan melalui Bilik Gerakan Bencana Cawangan Kejuruteraan Cerun yang berhubung secara langsung dengan BiGBen bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh.
Tambah beliau, BiGBen beroperasi 24 jam sekiranya berlaku bencana, manakala Jurutera Daerah di 85 daerah menjadi barisan hadapan JKR dalam menyelaras tindakan di lapangan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan bencana menerusi laman sesawang bencana.jkr.gov.my, aplikasi eBencana JKR serta laman media sosial Facebook rasmi JKR, BiGBen.