Trump mungkin bertemu Kim Jong Un di China

Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 17 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan kemungkinan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di China ketika memulakan lawatan ke Asia pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Xi mungkin menjemput Kim untuk menghadiri pertemuan pemimpin di Shenzhen sempena APEC.
  • Trump dijadualkan mengadakan pertemuan bersejarah dengan Xi dan Putin di Shenzhen.
  • Sesi pertemuan sebelum ini tidak menghasilkan perkembangan ketara berhubung isu program nuklear Korea Utara.
  • Ketegangan mengenai Nvidia: pegawai perbendaharaan dan perdagangan berselisih tentang cip AI dan hubungan syarikat dengan China.

Trump berkata, Presiden China, Xi Jinping, mungkin akan menjemput Kim untuk menyertai pertemuan pemimpin negara itu yang dijadualkan berlangsung di Shenzhen sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Kami mungkin bertemu Kim Jong Un juga. Jadi, itu sesuatu yang baik. Dia mungkin hadir, saya tidak pasti. Itu terpulang kepada Presiden Xi,” katanya ketika ditemui pemberita di White House di sini.

Trump dijadualkan mengadakan pertemuan bersejarah bersama Xi dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Shenzhen.

Pada Ogos lalu, Trump menyatakan jangkaan untuk bertemu Kim menjelang akhir tahun ini, dengan harapan dapat menghidupkan semula hubungan yang terjalin antara kedua-dua pemimpin ketika penggal pertama pentadbirannya.

Trump sebelum ini pernah mengadakan tiga pertemuan dengan Kim, iaitu di Singapura pada Jun 2018, Hanoi, Vietnam pada Februari 2019 dan di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Semenanjung Korea pada Jun 2019.

Trump pernah menyifatkan hubungan mereka sebagai istimewa selepas kedua-duanya bertukar surat yang disifatkannya sebagai penuh makna.

Bagaimanapun, beberapa siri pertemuan itu tidak menghasilkan perkembangan ketara berhubung isu program nuklear Korea Utara dan kedua-duanya belum mengadakan pertemuan sejak Trump kembali memegang jawatan Presiden AS.

Sementara itu, Trump turut menyifatkan pertemuan bersama Xi dan Putin di Shenzhen sebagai penting serta berpotensi menghasilkan pelbagai pencapaian.

“Kami mempunyai peluang untuk mencapai banyak perkara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa lagi pertemuan penting dijadualkan berlangsung, termasuk Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Miami pada Disember depan.

China sebelum ini menyatakan ketiga-tiga pemimpin itu akan membincangkan isu keamanan dunia.

Dalam perkembangan lain, Kremlin menyifatkan kepentingan sidang kemuncak tiga hala itu sebagai amat besar, selain memaklumkan perbincangan berasingan antara Putin dan Trump sedang diusahakan.

Bagaimanapun, Trump tidak mengesahkan sama ada pertemuan berasingan dengan Putin akan diadakan.

Perkembangan itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Eropah dan Ukraine berhubung kemungkinan berlakunya situasi yang disamakan dengan ‘Yalta Baharu’.

Istilah itu merujuk kepada pertemuan pemimpin Kesatuan Soviet, AS dan Britain pada 1945 di Yalta, Crimea, yang menyaksikan pembahagian pengaruh kuasa besar di Eropah dan menjadi antara asas kepada Perang Dingin.

Trump turut memaklumkan beliau akan menyampaikan ucapan penting di Filipina serta membincangkan isu ekonomi bersama pemimpin negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebelum meneruskan perjalanan ke China.

Beliau turut membawa Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dalam lawatan itu, meskipun wujud laporan mengenai perbezaan pandangan antara kedua-duanya berhubung syarikat teknologi cip, Nvidia.

Pada Ahad, Bessent menggesa syarikat itu menjelaskan sama ada pihaknya mengetahui bahawa cip kecerdasan buatan (AI) paling canggih miliknya telah sampai ke China.

Isu itu timbul susulan kontroversi membabitkan hubungan sulit bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, dengan seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan pengintipan untuk Beijing.

Bessent turut membangkitkan isu beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Megaspeed, sebuah syarikat pusat data berpangkalan di Singapura yang pernah menjadi tempat wanita berkenaan bekerja.

Financial Times sebelum ini melaporkan empat agensi persekutuan AS menggesa supaya Megaspeed disenaraihitamkan Jabatan Perdagangan, namun tindakan itu tidak dilaksanakan jabatan berkenaan yang diketuai Lutnick.

Mengulas hubungan antara Bessent dan Lutnick, Trump mengakui kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza, namun menegaskan beliau tidak mempertimbangkan untuk menggantikan Lutnick.

Trump turut memberi bayangan menyokong kemungkinan Huang dikembalikan ke jawatannya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan membangkitkan isu Nvidia dalam pertemuannya dengan Xi.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.