Ismail Lasim letak jawatan MB Negeri Sembilan, calon pengganti akan dikemuka

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 November – Datuk Ismail Lasim meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan bertarikh hari ini yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Salinan surat peletakan jawatan Ismail telah diterima oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan mempersembahkan cadangan calon pengganti kepada Tuanku Muhriz bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
  • Proses pelantikan calon dilaksanakan selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, mengambil kira kedudukan majoriti ADUN serta perkenan Tuanku.
  • BN berharap keputusan ini membuka lembaran baharu untuk memulihkan kestabilan politik dan memastikan pentadbiran negeri berfungsi dengan lancar.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, salinan surat peletakan jawatan Ismail telah diterima Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan mempersembahkan cadangan calon pengganti kepada Tuanku Muhriz bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.

“Proses berkenaan akan dilaksanakan selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan baginda,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Datuk Ismail sepanjang menerajui pentadbiran negeri.

“BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar,” katanya.

Datuk Ismail, 67 tahun, yang juga ADUN Juasseh, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan pada 2 Ogos lalu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Pelantikan beliau dibuat susulan kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16, dengan kedua-dua gabungan memperoleh keseluruhan 25 daripada 36 kerusi DUN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.