ASEAN-China belum tetap tarikh akhir baharu rundingan COC Laut China Selatan

Foto Bernama

MANILA, 16 November -ASEAN dan China belum menetapkan tarikh akhir baharu untuk memuktamadkan rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar berkata kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk mempercepatkan rundingan COC.
  • Pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China mengiktiraf kemajuan rundingan COC.
  • Anwar percaya rundingan boleh dilanjutkan melebihi sasaran asal akhir 2026 jika kemajuan berterusan.
  • Beliau menegur supaya tidak menetapkan tarikh akhir yang boleh menjejaskan proses; China ulangi komitmen memuktamadkan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun kedua-dua pihak telah mengulangi komitmen mereka untuk menyegerakan proses itu.

Katanya para pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China Li Qiang memperakui kemajuan yang dicapai dalam rundingan tersebut, semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China, di Manila.

Ditanya sama ada rundingan itu boleh dilanjutkan melebihi sasaran asal iaitu pada akhir 2026, beliau percaya perkara itu boleh terjadi, melihat kepada kemajuan yang dicapai setakat ini.

“Apabila terdapat kemajuan yang jelas dalam rundingan ini, kita tidak seharusnya menetapkan tarikh akhir yang boleh menjejaskan proses rundingan tersebut.

“Sekiranya rundingan itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan, saya boleh memahami keperluan menetapkan tarikh akhir. Namun, dalam hal ini, rundingan menunjukkan perkembangan positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini.

Tambahnya China telah mengulangi komitmennya untuk meneruskan rundingan dan memuktamadkannya dengan segera.

Sementara itu, berhubung perkembangan di Myanmar, Perdana Menteri berkata ASEAN perlu mempertingkatkan usaha libat urus dengan negara itu bagi meredakan ketegangan dalaman serta memulihkan keamanan dan kestabilan.

Menurut beliau, walaupun Malaysia kekal menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, sebarang pendekatan perlu mengambil kira perkembangan terbaharu di negara berkenaan.

“Kita juga harus mengakui bahawa mereka telah mengambil langkah yang lebih baik daripada jangkaan sebelum ini. Atas dasar itu, perbincangan berkenaan merumuskan Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus), selain menekankan keperluan untuk meningkatkan libat urus antara negara-negara ASEAN,” katanya.

Beberapa negara anggota ASEAN termasuk Thailand, Vietnam, Laos dan Kemboja telah memulakan libat urus dengan Myanmar selain terdapat juga
usaha sedemikian oleh negara lain.

Beliau turut menegaskan sebarang usaha ke arah mengembalikan penyertaan penuh Myanmar dalam ASEAN mestilah berpaksikan jaminan keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.